top of page
  • Writer's pictureNihaba

Keanggotaan Russia dalam OPEC+ penting bagi industri minyak


KUWAIT,1 Ogos: Ketua Setiausaha Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengumumkan keanggotaan Russia dalam OPEC+ penting untuk melakar kejayaan perjanjian.


Perkara itu dilaporkan akhbar Kuwait, Alrai, semalam yang memetik kenyataan menerusi temubual eksklusif dengan Setiausaha Agung OPEC, Haitham al-Ghais.

Beliau berkata OPEC bukan dalam persaingan dengan Russia, yang digelarnya sebagai sebuah pemain berpengaruh 'besar, utama, dan terunggul' dalam peta tenaga dunia menerusi OPEC+ iaitu sekutu OPEC dan pakatan diterajui oleh Russia.


Menurut al-Ghais, yang juga bekas gabenor OPEC, Kuwait akan menerajui mesyuarat OPEC+ pertama pada Rabu ini yang akan mempertimbangkan pengekalan pengeluaran minyak untuk September, walaupun mendapat permintaan dari Amerika Syarikat (AS) untuk menambah bekalan.


Al-Ghais berkata OPEC tidak mengawal harga minyak tetapi pihaknya mengamalkan apa yang dipanggil sebagai pelarasan pasaran dalam aspek bekalan dan permintaan.


Beliau juga menggambarkan bahawa pasaran minyak semasa sangat tidak menentu dan bergelora, terutama selepas konflik Russia-Ukraine.


"Namun, kesemua data sahkan bahawa harga mula naik secara berperingkat dan secara kumulatif sebelum isu Russia-Ukraine.

"Ini berpunca daripada persepsi dalam pasaran bahawa terdapat kekurangan bekalan minyak rizab, yang sebenarnya hanya dialami beberapa negara saja.

"Bagi saya, saya masih tekankan bahawa kenaikan harga minyak baru-baru ini bukan hanya berkaitan dengan pergolakan antara Russia dan Ukraine," katanya.

Harga minyak melonjak pada 2022 mencapai tahap tertinggi sejak 2008, menokok di atas AS$139 (RM618.61) setong pada Mac, selepas AS dan Eropah mengenakan sekatan terhadap Russia kerana pencerobohan ke atas Ukraine.


Harga minyak sejak itu menyusut sekitar AS$108 (RM480.65) setong kerana lonjakan inflasi dan kadar faedah tinggi sehingga menimbulkan kegusaran boleh berlaku kemelesetan yang mungkin menghakis permintaan.


Menjawab soalan mengenai faktor yang akan mempengaruhi harga minyak sehingga hujung tahun ini, al-Ghais berkata pada pandangannya, faktor paling penting adalah kekurangan pelaburan berterusan dalam sektor penggerudian, penerokaan dan pengeluaran.

"Ini akan melonjakkan harga tetapi kita tidak tentukan apa tahap yang ia boleh capai," katanya. - REUTERS

bottom of page