Kedudukan Muhyiddin sebagai PM tetap selamat
24 Julai 2021
KUALA LUMPUR: Kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri tetap selamat kerana tiada mana-mana pihak dapat mengumpulkan sokongan untuk menyingkirkannya.
Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata ini kerana UMNO telah memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan DAP dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, pemimpin PEJUANG Tun Dr Mahathir Mohamad juga tidak boleh bekerjasama dengan Anwar.
Jelas Zuraida, adalah perlu bagi kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus mentadbir kerana negara ini memerlukan kerajaan yang stabil semasa fasa pemulihan sehingga pandemik Covid-19 reda.
“Bagaimana mereka boleh kumpulkan sokongan untuk bentuk kerajaan? Ia mustahil bagi saya.
“Apabila kita ada peluang, pilihan raya boleh diadakan. Kerajaan (berikutnya) akan lebih stabil pada waktu itu. Maka siapa yang ambil alih akan lebih mudah.
“Sekarang jika (orang lain) ambil alih, ia akan menjadi kucar-kacir dan rakyat akan jadi mangsa,” katanya memetik wawancara Malaysiakini pada Jumaat.
Zuraida berkata fokus harus diberikan terhadap pelaksanaan dalam memastikan pemulihan ekonomi setelah kerajaan memulakan pelbagai pakej rangsangan.
“Sebelum ini kita ada Lim Guan Eng (sebagai menteri kewangan) dan dia kata kita (negara) tidak ada wang. Sekarang kita ada Tengku Zafrul (Abdul Aziz) yang berkebolehan – saya tidak tahu bagaimana dia lakukannya – berikan kita semua ini Pemulih, Perkasa (pakej rangsangan lain).
“Sekiranya kerajaan lain ambil alih, saya tidak tahu bagaimana ia akan memperbaiki apa yang ada. Oleh itu, biarkan (kerajaan) kekal stabil demi rakyat. Kita boleh adakan pilihan raya nanti,” katanya.
--PN Online
Comments