• newsatmy

Kehadiran Ahli Parlimen DAP semasa lawatan adalah kebetulan - Noraini

15 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Kehadiran Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming semasa lawatan Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Sungai Merab, Bangi, Rabu lepas adalah secara kebetulan dan tidak melibatkan sebarang arahan daripada pimpinan UMNO.


Noraini dalam satu kenyataannya di sini hari ini berkata beliau berjumpa dengan Ong ketika sedang melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


"Saya ke PPV di UKM untuk berjumpa dengan sukarelawan MyVac yang tidak pulang ke kampung halaman untuk sambut Aidilfitri," katanya.


Tambah Noraini lagi, Ong kemudian mahu mengikut beliau dan rombongan menziarah seorang pelajar yang sedang mengikuti pengajian Doktor Falsafah (PhD) di UKM yang sedang menghidap barah di Sungai Merab, Bangi berikutan ia di bawah kawasan parlimennya.


Sehubungan itu Noraini turut menafikan mengenai dakwaan terdapat arahan daripada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar wakil DAP dijemput dalam setiap program anjuran parti itu.


Rabu lepas, Noraini bersama dengan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Datuk Dr Hussaini Omar melawat Azura Omar, seorang pelajar PhD di UKM yang sedang berjuang melawan penyakit kanser.


-- BERNAMA