top of page
  • newsatmy

Kejayaan di Ipoh bakar semangat perancang TFC.

Updated: Mar 17, 2021

16 Mac 2021

KUALA TERENGGANU: Dua tahun lalu di stadium sama, arkitek Terengganu FC (TFC), Dechi Marcel diperintahkan keluar padang selepas dilayangkan kad merah ketika pasukannya tewas 1-3 kepada Perak dalam saingan Liga Super di Ipoh.


Namun malam kelmarin, pemain kelahiran Ivory Coast itu bagaikan melepas geram apabila berjaya membantu pasukannya membalas dendam kekalahan berkenaan dengan merakamkan kemenangan 2-0 ke atas skuad The Bos Gaurus dalam saingan sama.


Malah jaringan melalui sepakan lencong di sebelah penjuru kiri pintu gol tuan rumah pada masa kecederaan juga membuatkan pemain Terengganu FC II (TFC II) itu bertambah puas.

"Tiada apa yang paling menggembirakan selepas berjaya membantu pasukan meraih kemenangan bergaya selepas detik malang pada 18 Jun 2019 itu. Ketika itu saya dilayangkan kad merah pada babak pertama selepas mendapat kad kuning kedua.


"Lebih manis kemenangan malam di Ipoh dibantu jaringan pertama saya musim ini selain antara gol tercantik sepanjang karier. Ia bagaikan mimpi namun yang penting tiga mata berjaya dibawa pulang selain membuktikan saya masih mampu membantu pasukan," katanya.

Dalam pada itu, mengulas pertemuan dengan Melaka United FC (MUFC) di sini malam esok, pemain dengan ketinggian 1.64 meter itu mahu mengulangi pencapaian berkenaan jika disenaraikan dalam pasukan.


"Sudah tentu kemenangan dan jaringan itu meningkatkan lagi motivasi saya. Jadi kami mahu meneruskan momentum kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan dalam carta liga lebih-lebih lagi bermain di tempat sendiri," katanya.


Skuad Penyu yang melakar kemenangan hatrik selepas tiga aksi kini menghuni kedudukan kedua Liga Super dengan berkongsi sembilan mata dengan penyandang juara, Johor Darul Ta'zim (JDT).


-Berita Harian

bottom of page