top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Kejayaan PRN Johor bukan jaminan kemenangan BN PRU-15

24 April 2022

Kejayaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lepas tidak menjamin kemenangan sama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, kata Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad.


Beliau berkata banyak perkara dan cabaran perlu diteliti BN bagi persediaan menghadapi PRU15 termasuk memastikan Ikhtiar BN Johor dipantau serta ditetapkan petunjuk prestasi utama (KPI).


“Kita anggap apabila sampai pilihan raya nanti, cabaran yang ada perlulah kita teliti kerana kejayaan PRN Johor tidak menjamin kejayaan pada PRU15.


“Sebagai contoh harga barang terus meningkat, tidak pasti sama ada sebelum akhir tahun harga boleh dikawal atau turun. Begitu juga (kelulusan pengeluaran) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)…kalau itu dianggap ‘feel good factor’ (faktor yang menyenangkan) tetapi dalam empat atau lima bulan ke hadapan tidak pasti lagi,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Johor di Johor Bahru, hari ini.


Turut hadir Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.


Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata demikian ketika ditanya sama ada BN dapat mengekalkan momentum kemenangan PRN Johor pada PRU15.


Bekas Menteri Besar Johor itu pada masa sama berkata prestasi Belanjawan Johor 2022 juga perlu diambil perhatian.


“Kita lihat bahawa pada peringkat awal ini, kita akan pastikan Ikhtiar BN dipantau dan ditetapkan KPI, selain daripada Belanjawan 2022.


“Sekiranya PRU15 berlaku tahun ini, dengan adanya KPI dan pemantauan khusus dibuat pada Ikhtiar BN dan prestasi belanjawan, kita yakin kita akan dapat lebih bersedia hadapi cabaran PRU yang dijangka diadakan tidak lama lagi,” katanya.


Hasni juga berkata UMNO Johor dan kerajaan negeri akan memperkukuh kerjasama strategik menerusi penubuhan jawatankuasa penyelaras, yang akan dianggotai empat wakil UMNO Johor dan empat wakil kerajaan negeri yang berkemungkinan daripada kalangan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor.


Beliau berkata Onn Hafiz juga telah menyatakan komitmen dan kesediaan untuk mempertimbang serta mengambil inisiatif itu bagi memastikan hubungan kerjasama yang lebih strategik antara parti dan kerajaan.


Ini merupakan kali pertama Onn Hafiz menghadiri mesyuarat badan perhubungan itu selepas dilantik sebagai Menteri Besar ke-19 susulan kemenangan BN pada PRN Johor 12 Mac lepas.

bottom of page