top of page
  • Farah

Kejohanan Tenis Malaysia Junior Leg 2 di Johor


JOHOR BAHRU 23 Feb: Johor akan menganjurkan Kejohanan Tenis Malaysia Junior Leg 2 dengan penyertaan lebih 200 pemain termasuk dari luar negara, bermula Selasa depan (28 Feb).


Presiden Persatuan Tenis Negeri Johor (JTA) Nurizam Mohd Khalid berkata kejohanan yang dijadual berlangsung sehingga 4 Mac itu akan diadakan di Akademi Tenis Johor, Taman Nusa Duta di sini dan Estuari Sports Centre di Iskandar Puteri.


Beliau berkata kejohanan itu turut disertai pemain dari Singapura, Korea Selatan dan Indonesia serta pemain kebangsaan, antaranya Adam Mukhriz Mapiz dan Jacob Wong dari Johor. "Dijangka beberapa pemain terbaik kebangsaan akan menyertainya, malah untuk wakil Johor sahaja kita anggarkan seramai 100 pemain," katanya pada sidang media selepas Program Pengenalan Sukan Tenis Bersama Kelab Media Johor (KMJ) di sini pada Rabu.

Turut hadir, Presiden KMJ yang juga Naib Presiden JTA Mohamad Fauzi Ishak dan Pegawai Pembangunan Tenis JTA Luqman Rahim.


Pada edisi kali ini, kejohanan itu akan mempertandingkan kategori umur bawah lapan, sembilan, 10, 12, 14 dan 16 tahun.


Sementara itu, Mohamad Fauzi berkata Program Pengenalan Sukan Tenis anjuran bersama KMJ, JTA dan Majlis Sukan Negeri Johor itu diadakan bagi memberi pendedahan kepada pengamal media untuk mengenali sukan berkenaan.

"Kita mahu memberi peluang kepada ahli kelab KMJ untuk mengenali sukan tenis kerana ia sering dianggap sebagai sukan golongan atasan. Kita ingin mendedahkan bahawa tenis boleh dimain oleh semua golongan," katanya.


Mohamad Fauzi yang juga Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia berkata pihaknya juga dalam perancangan untuk mengadakan kejohanan sukan melibatkan kesemua 14 kelab media di bawah gabungan itu, sama ada tahun ini atau tahun depan.

-- BERNAMA


bottom of page