• newsatmy

Kekuatan parti diukur daripada penerimaan rakyat menerusi PRU - Syed Ali

31 Mac 2021


KUALA LUMPUR: Kekuatan parti politik bukan disukat daripada tahap sokongan individu tetapi dilihat kepada penerimaan rakyat menerusi undi yang diterjemahkan menerusi Pilihan Raya Umum (PRU) untuk kekal berkuasa dan seterusnya menubuhkan kerajaan yang stabil dan dominan.


Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee menjelaskan, ketetapan daripada resolusi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Ahad lalu, menuntut semua pihak lebih bertanggungjawab mencerminkan perwatakan kepimpinan yang disenangi rakyat dengan mengambil iktibar dari keputusan PRU14.


"Penyelesaian kepada kemelut politik amat diharapkan tidak mengetepikan pandangan rakyat yang sedang bertarung untuk meneruskan kelangsungan hidup kesan daripada pandemik COVID19 dan kesuraman ekonomi negara.


"Rumusan daripada ketetapan UMNO akan memutuskan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ogos ini bagaimanapun diharapkan agar agenda membela nasib rakyat tidak terabai dan tersepit di tengah-tengah pertarungan kuasa politik.


"Perlu diingatkan bahawa rakyat sedang memerhati telatah pemain politik yang sedang mencaturkan strategi untuk meraih kuasa dan jika manfaat kepada mereka (rakyat) tidak diambil kira, sudah pasti sokongan dan undi mereka akan turut terhakis," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Selasa.


Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Ulung Datuk Shamsul Amri Baharuddin sebelum ini menasihatkan UMNO supaya bersikap rendah diri dan mengutamakan keinginan rakyat berbanding kepentingan peribadi pemimpin parti menjelang PRU15.


Menurutnya, parti itu bagaimanapun masih mempunyai kelebihan kerana ahlinya tidak melompat parti seperti beberapa anggota parti lain.


Dalam pada itu Syed Ali turut menaruh keyakinan kepimpinan tertinggi UMNO akan memberi fokus kepada kepentingan rakyat dalam menyelesaikan kemelut yang selama ini parti itu terbelenggu dengan 'beban politik' bersama Bersatu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).


"Justeru, saya juga berharap UMNO akan terus kekal menjadi benteng yang akan mempertahankan kepentingan orang Melayu dan umat Islam di negara ini biarpun berdepan dengan struktur politik semasa yang lebih aggresif dan mencabar," ujarnya.


Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang media selepas menggulung perbahasan menjelaskan, usul memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu, yang menerajui kerajaan PN dalam PRU15 dipersetujui sebulat suara perwakilan parti pada PAU 2020.


Katanya, perhimpunan kali ini turut meluluskan usul Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) seramai 42 orang tidak akan bersama kerajaan PN apabila Parlimen dibubarkan.


- Astro Awani

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.