top of page
  • newsatmy

Kelab dua liga tertinggi Sepanyol rugi RM9.85 bilion

3 Mac 2021


MADRID: Kelab-kelab Sepanyol dalam dua liga tertinggi negara itu mengalami kerugian pendapatan berjumlah 2.013 bilion euro (RM9.85 bilion) bagi musim 2019-20 dan 2020-21 akibat impak pandemik COVID-19.


"Walaupun kurang dua bilion dalam pendapatan, jumlah yang besar, kelab-kelab masih mampu menanganinya," kata bos La Liga Javier Tebas.


Untuk kempen 2019-20, kelab-kelab dilaporkan meraih pendapatan 4.8 bilion euro (RM23.52 bilion), kurang 366 juta euro (RM1.79 bilion) berbanding jangkaan 5.167 bilion euro (RM25.32 bilion).


Bagi musim yang sedang berlangsung, dianggarkan kerugian 1.647 bilion euro (RM8.08 bilion) berdasarkan jangkaan awal 5.269 bilion euro (RM25.82 bilion), mewakili kerugian 31 peratus untuk dua liga tertinggi Sepanyol itu.


Bagaimanapun kelab-kelab bertindak mengurangkan kos masing-masing sepanjang dua musim lalu, sekali gus mampu menyerap kerugian menjelang musim-musim seterusnya.


"Hutang ini akan dilunaskan menjelang tiga hingga lima musim akan datang, jadi impak COVID-19 akan diimbangi pada kadar 150-250 juta euro (RM735 juta - RM1.22 bilion) setiap musim," kata pengarah urusan La Liga Jose Guerra.


Sementara itu Tebas menegaskan, di sebalik kerugian kelab-kelab di Sepanyol, masalah pembayaran gaji tidak timbul berbanding di liga-liga utama lain.


"Liga-liga lain mempunyai masalah membayar gaji. Di Itali, di Perancis dan di Liga Perdana Inggeris, beberapa kelab memohon bantuan kerajaan, kami tidak," katanya. - Berita Harian

bottom of page