• newsatmy

Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Penalti De Paula gagal cetus kebangkitan buat Malaysia

12 Jun 2021

KEMARAU kemenangan ke atas Vietnam berterusan apabila Malaysia sekali lagi dihimpit kekalahan 2-1 dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al-Maktoum, Dubai, sebentar tadi.


Kekalahan skuad kendalian Tan Cheng Hoe menyaksikan mereka gagal merekodkan sebarang kemenangan ke atas pasukan yang berada di ranking ke-92 dunia selepas enam perlawanan apabila kali terakhir melakukannya dalam aksi Piala AFF tujuh tahun lalu.


Malaysia berusaha menampilkan permainan yang berkualiti dalam mengasak kubu pertahanan lawan namun turut menyerap beberapa percubaan lawan.


Vietnam terlebih dahulu menguji benteng pertahanan skuad negara pada minit ke-13 menerusi Nguyen Hoang Duc namun berjaya diselamatkan Farizal Marlias sebelum kelekaan benteng pertahanan pada minit ke-18 nyaris dihukum Nguyen Tien Linh sebelum tampanannya tersasar.


Walaupun kelihatan seakan Vietnam gagal menemui jalan meledak jaringan, mereka berjaya menggunakan kealpaan pemain Malaysia ketika mengeluarkan bola hasil sepakan sudut Vietnam.


Tien Linh merupakan pemain terpantas menerjah bola menanduk masuk gol pada minit ke-26.


10 minit terakhir separuh masa pertama menyaksikan Vietnam berdepan tekanan apabila Malaysia mula menemui jalan dalam gerakan melakukan serangan, tandukan Syafiq Ahmad hampir menyamakan kedudukan di minit ke-38 sebelum sepakan percuma Safawi Rasid minit ke-43 berjaya ditampan keluar penjaga gol, Bui Tan Truong.


Intensiti permainan Malaysia diteruskan dalam separuh masa kedua, Nazmi Faiz Mansor kemas melakukan sepakan percuma mencari Guilherme de Paula namun gagal menguji Tan Truong.


Jaringan Malaysia hadir pada minit ke-70, De Paula melengkapkan sepakan penalti selepas dia dijatuhkan pemain lawan untuk menjadikan kedudukan 1-1.


Hasrat Malaysia mendapatkan gol kedua disentap apabila pengadil menghadiahkan Vietnam sepakan penalti yang kontroversi pada minit ke-80 yang disempurnakan Que Ngoc Hai bagi memastikan Vietnam menang sekali gus gah selaku pendahulu Kumpulan G.