Matha Ahmad
(Kemaskini) PRN DUN Melaka
18 Oktober-MELAKA

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diadakan pada 20 November ini susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dua wakil UMNO, menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Sulaiman Md Ali, sebelum ini.
Pengumuman dibuat Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh hari ini, yang berkata hari penamaan calon pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 16 November.
“Tempoh berkempen pula adalah 12 hari bermula selepas perisytiharan calon sehingga jam 11.59 malam pada 19 November,” katanya pada sidang media, hari ini.
PRN Melaka perlu diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14.
Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum itu mengumumkan DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober selepas dipersetujui Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.
DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu susulan tindakan empat ADUN iaitu Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Melaka mempunyai 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Abdul Ghani berkata bagi tujuan PRN berkenaan, SPR telah melantik seramai 28 pegawai pengurus pilihan raya dan dibantu oleh 80 penolong pegawai pengurus pilihan raya.
“Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh berkempen, SPR telah menubuhkan 28 pasukan petugas kempen pilihan raya yang dianggotai wakil Polis Diraja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan dan wakil-wakil calon yang bertanding,” katanya.
Beliau berkata daftar pemilih yang digunakan bagi PRN Melaka adalah Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Tahun Kedua 2021 (ST2/2021) yang dikemas kini sehingga 3 Oktober 2021.
Daftar pemilih itu mengandungi seramai 495,196 pengundi dan SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi bagi PRN berkenaan adalah sebanyak 70 peratus.
Menurut Abdul Ghani daftar pemilih tersebut membabitkan 482,550 pengundi biasa; 10,191 anggota tentera dan pasangan; 2,349 anggota polis dan 106 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.
Bagi maksud menjalankan PRU DUN Melaka ke-15, SPR telah menetapkan tarikh-tarikh penting seperti berikut:
Tarikh keluar writ: 18 Oktober 2021 Hari penamaan calon: 8 November 2021 Hari mengundi awal: 16 November 2021 Hari mengundi: 20 November 2021
Ditanya mengenai prosedur operasi standard (SOP) pada PRN Melaka nanti, Abdul Ghani berkata pihaknya akan memberi cadangan masa keluar mengundi menerusi sistem SPR bagi mengurangkan kehadiran pengundi yang ramai pada hari mengundi.
“Kita akan beri cadangan masa keluar mengundi melalui sistem kita seperti yang digunakan di aplikasi MySejahtera. Pengundi juga usah keluar mengundi serentak pada sebelah pagi. Kalau boleh, warga emas sebelah pagi dan tengah hari sikit untuk orang muda.
“SOP kita di pusat mengundi juga ketat. Syarat-syarat seperti dah lengkap dua dos vaksin, memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal.
“Justeru kita merayu agar semua pengundi lengkapkan vaksin dahulu.. kita ada masa lagi,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata garis panduan berkaitan Covid-19 akan berpandukan kepada pandangan dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari semasa ke semasa.