top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Kemasukan Idris beri impak positif, PKR yakin menang 11 kerusi

16 NOVEMBER 2021

Tidak dinafikan kemasukan bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Idris Haron sebagai calon PKR memberi impak positif dan dijangka menyumbang kepada kemenangan besar Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.


Idris yang sebelum ini semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bertanding atas tiket UMNO di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang diambil PKR untuk bertanding atas tiket mereka di DUN Asahan pada PRN kali ini selepas dipecat UMNO.


Keyakinan kemenangan besar itu disuarakan Pengerusi PKR Melaka, Datuk Halim Bachik yang berkata, perkara itu berdasarkan hasil tinjauan orang ramai menerusi kempen PRN Melaka yang berlangsung sejak 8 November lalu.


Katanya, ukuran itu memberikan harapan besar kepada PKR untuk menang kerusi ditandingi sekali gus menyumbang kemenangan PH dalam membentuk kerajaan negeri.


Malah beliau menjangkakan dapat merampas kawasan DUN Lendu yang sebelum ini dimenangi Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dari Barisan Nasional (BN).


“Ketika PRU-14, Sulaiman hanya memperoleh majoriti 627 kerusi. Oleh itu kita yakin akan menangi kerusi itu nanti,” katanya dipetik laporan Utusan Online.


Selain Lendu, PKR juga mempertaruhkan calon-calon di Tanjung Bidara, Rembia, Machap Jaya, Asahan, Sungai Udang, Paya Rumput, Kelebang, Ayer Molek, Rim and Sungai Rambai.


Sebelum ini, Idris bersama tiga lagi ADUN – Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu Teluk Mas), menarik sokongan terhadap Sulaiman dan kerajaan UMNO.


Susulan itu, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam membubarkan DUN pada 4 Oktober lalu bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal pada 16 November dan pengundian biasa 20 November.

bottom of page