• newsatmy

Kementerian dan pihak berkepentingan bincang pelan lima tahun promosi minyak sawit

14 Januari 2022

PUTRAJAYA: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, agensi dan penggiat industri akan bersama-sama merangka pelan lima tahun untuk mempromosikan minyak sawit Malaysia.


Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata pelan komprehensif itu melibatkan pakej keseluruhan yang terdiri daripada pemasaran, promosi, libat urus dan komunikasi mengenai kebaikan minyak sawit.


Katanya pelan tersebut akan diformalkan di atas kertas, tetapi pada masa ini, perkara "masih belum kukuh".

"Kita perlu mencari cara yang lebih tidak konvensional untuk mempromosikan minyak sawit kita.


"Saya menggesa agensi, penggiat industri untuk bekerjasama dengan kementerian dan melihat kepada strategi pemasaran kami, secara dalaman dan luaran, di peringkat tempatan dan antarabangsa," katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucap tama pada Seminar Tinjauan dan Semakan Ekonomi Minyak Sawit 2022 di sini pada Khamis.


Zuraida berkata cabaran yang dihadapi oleh Malaysia ialah tekanan daripada Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU).


Beliau berkata kekurangan Malaysia ialah pakej pemasaran yang agresif untuk mengubah persepsi minyak sawit Malaysia.


Pada sidang media, katanya tiada strategi yang mencukupi untuk menangani serangan kempen anti minyak sawit berikutan Malaysia tidak memanfaatkan semua kebaikan minyak sawit.


Di peringkat tempatan, katanya terdapat keperluan untuk mengukuhkan kedudukan komoditi itu dan melihatnya sebagai komoditi emas.


Beliau berkata terdapat keperluan untuk memberi penekanan semula kepada orang ramai mengenai kepentingan melindungi komoditi nombor satu negara itu dan ini perlu dilakukan dengan kempen dan strategi komunikasi.


Zuraida berkata jika negara ke hadapan dengan strategi yang lebih agresif, Malaysia tidak perlu membelanjakan begitu banyak wang untuk pameran.


Mengenai pelbagai dakwaan daripada EU mengenai minyak sawit Malaysia, beliau berkata ini tidak wajar berikutan ia adalah pandangan berat sebelah oleh individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


"Tiada proses pengesahan. Kita mempunyai dasar buruh dan alam sekitar tetapi (ini) tidak diketengahkan dengan mencukupi," katanya.


Beliau berkata aduan boleh dibuat tetapi perlu ada proses pengesahan sama ada aduan ini wajar atau tidak dan pengetahuan juga tidak mencukupi berkaitan komoditi itu di EU.


"Kami akan cuba menangani perkara ini pada Mac semasa lawatan kami ke EU," katanya.



-- BERNAMA