• newsatmy

Kementerian Pendidikan jangan jadi 'bisu'

23 April 2021

JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) Johor menggesa agar Kementerian Pendidikan tidak terus membisu dan segera mengambil langkah proaktif bagi membendung penularan kes Covid-19 di sekolah.


Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, tindakan segera perlu diambil untuk melegakan keresahan warga pendidikan.


Menurutnya, sehingga Khamis sebanyak 27 buah sekolah dan sekolah agama di Johor ditutup ekoran penularan Covid-19 dalam kalangan guru dan pelajar.


"Rentetan daripada situasi ini, ibu bapa telah melahirkan kerisauan mereka untuk menghantar anak-anak ke sekolah.


"Pada masa sama, PH Johor menyeru agar seluruh rakyat khususnya ibu bapa untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menjaga keselamatan dan kesihatan anak-anak mereka," katanya yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara Johor.


Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bersama Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Senator Liew Chin Tong.


Sinar Harian pada Rabu melaporkan sebanyak 27 sekolah di Johor terpaksa ditutup setelah merekodkan kes positif Covid-19 dalam kalangan petugas, murid dan pelajarnya.


Penutupan itu meliputi 10 sekolah agama dan 17 lagi merupakan sekolah kebangsaan, sekolah menengah dan sekolah jenis kebangsaan.


Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, kesemua 17 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan itu ditutup secara berperingkat sejak tiga hari lepas.


-Sinar Harian