Kempen Lapuk ‘Selamatkan Malaysia’
KUALA LUMPUR, 27 Sept – Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan berkata sudah hampir tahun 2023, tetapi masih ada lagi laungan ‘Selamatkan Negara’ daripada pemimpin yang sama pernah melaungkannya sebelum ini.
Katanya, mengimbas kembali kempen mereka pada tahun 2016 apabila Dap, PKR, Pan dan PPBM senada kononnya mahu ‘Selamatkan Malaysia’.
“Ini bermakna kempen lapuk akan dikitar semula dengan harapan dapat sekali lagi menipu dan manipulasi rakyat seperti apa yang mereka telah berjaya lakukan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu.
“Tidak dinafikan pakatan yang diberi nama Pakatan Harapan (PH) akhirnya berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) selepas lebih 60 tahun berjasa membina negara dengan dasar-dasar baik untuk rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Persoalannya, adakah segalanya lebih baik selepas 9 Mei 2018 lalu.
“Adakah prestasi PH selama 22 bulan lebih baik? Adakah prestasi kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri serpihan mereka Perikatan Nasional (PN) lebih baik?”
Tegasnya, tidak cukup dengan janji-janji palsu hingga PH digelar kerajaan ‘kencing rakyat’ akibatnya rakyat menolak mereka dalam siri Pilihan Raya Kecil (PRK), Pilihan Raya (PRN) Negeri Sabah, Melaka, Johor dan Sarawak.
“Kita ambil pengajaran daripada apa yang sudah berlaku, semua parti politik sudah diberikan peluang mentadbir kerajaan dan akhirnya rakyat bijak menilai yang mana kaca dan mana permata.
“Yang mana satu kerajaan mampu memastikan kemajuan, kestabilan politik demi kemakmuran rakyat,” ujarnya.
コメント