top of page
  • newsatmy

Kempen semarak semula pawagam

12 April 2021


KUALA LUMPUR: Pelbagai sektor bergelut meneruskan survival sepanjang pandemik COVID-19 menyerang seluruh dunia, malah, pengusaha pawagam dan penggiat filem mengalami kerugian beratus-ratus juta, sejak tahun lalu.


Kini, industri pawagam 'bernafas semula' apabila dibenarkan beroperasi, sejak sebulan lalu, selepas lebih enam bulan menghentikan operasi bagi mengelak kerugian berterusan.


Pelbagai usaha dilakukan untuk meyakinkan 'kaki wayang' memilih menonton filem di pawagam bersama keluarga dengan pendekatan norma baharu.


Kempen Jom #SapotLokal Filem 2021 anjuran Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas (GSC), Astro dan Six Fun Media sebagai usaha menyemarakkan industri pawagam dan perfileman menerusi karya anak tempatan yang tertangguh tayangan selama setahun ini.


Usaha murni ini disokong Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) demi melihat industri pawagam dan perfileman bangkit semula.


Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid memuji inisiatif kempen Jom #SapotLokal Filem 2021.

"Kempen Jom #SapotLokal Filem 2021 adalah salah satu usaha dalam memastikan industri pawagam dan perfileman terus diperkasa, biarpun terkesan teruk dengan penularan pandemik COVID-19.


"Ia juga bertujuan memberi galakan kepada masyarakat untuk terus menyokong karya filem tempatan bagi meneruskan kelangsungan sektor industri kreatif negara," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar kempen Jom #SapotLokal Filem 2021 di GSC, Mid Valley, minggu lalu.


Katanya, inisiatif berkenaan bukanlah sekadar kempen dan galakan, malah boleh dianggap sebagai penanda aras dalam usaha mewujudkan komuniti pencinta filem tempatan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.


"Usaha ini amat selari dengan hasrat FINAS dalam memacu industri kreatif negara yang berdaya saing untuk ke peringkat global. Ia sekali gus berupaya mengetengahkan budaya, jati diri dan aspirasi menerusi karya filem tempatan," katanya.


Zakaria berkata, FINAS akan terus memberi sokongan dan galakan kepada syarikat produksi untuk terus berkarya serta menghasilkan lebih banyak filem berunsur identiti kenegaraan serta budaya tempatan.


"FINAS sentiasa komited dalam memastikan kelangsungan dan kelestarian penggiat industri kreatif ketika berdepan dengan impak pandemik.


"Bagi menyokong sektor pemamer dan tayangan filem, karya yang berdaftar di bawah Skim Wajib Tayang layak mendapat slot tayangan minima iaitu tiga slot bagi hari biasa dan empat slot pada hujung minggu serta hari kelepasan am," katanya.



Enam filem dilancarkan di bawah inisiatif kempen Jom #SapotLokal Filem 2021 termasuklah filem Biko arahan Teng Bee yang dibintangi Azrel Ismail dan Baby Shima. - Foto FINAS


Katanya, FINAS turut melaksanakan program Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) untuk menjana pembangunan industri perfileman melalui galakan tayangan dan pulangan insentif kepada penggiat industri kreatif.


"Penyerahan ITFC kepada warga penerbit dijadualkan pada penghujung bulan ini. Tahun lalu, ITFC berjaya dilaksanakan menerusi tiga siri serahan yang memberi manfaat kepada 38 syarikat produksi membabitkan 42 filem," katanya.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GSC, Koh Mei Lee optimis dan meletakkan harapan kempen dianjurkan dapat memberi nafas kepada industri pawagam dan perfileman.


"Pawagam GSC ditutup lebih enam bulan akibat penularan COVID-19. Ia bukan sahaja menjejaskan pawagam, tetapi seluruh industri perfileman.


"Salah satu cabaran dihadapi adalah kekurangan filem untuk ditayangkan ketika pawagam kembali beroperasi sejak 5 Mac lalu. Penutupan pasaran filem Hollywood menyebabkan kebanyakan tarikh filem blockbuster yang kebiasaannya menarik penonton ke pawagam terpaksa ditangguhkan.


"Ini menyebabkan kandungan filem untuk ditayangkan di pawagam berkurangan," katanya.

Katanya, GSC memainkan peranan penting untuk menyokong dan mengembangkan karya tempatan.


"Dengan pengalaman dan pengetahuan mendalam daripada segi pameran, pengedaran, pemerolehan dan pemasaran, kami mampu memanfaatkan kekuatan untuk memberi peluang kepada karya tempatan diketengahkan hingga ke peringkat global.


"Kempen Jom #SapotLokal Filem 2021 membuktikan kami bukan sahaja mempamerkan filem, tetapi memacu penghasilan karya tempatan yang berkualiti," katanya.


Enam filem dilancarkan di bawah inisiatif kempen pada majlis pelancaran Jom #SapotLokal Filem 2021. Ia membabitkan filem Biko arahan Teng Bee, Rasuk (James Lee), Rumah Maduku Berhantu (Datuk Prof A Razak Mohaideen), 3 Janda (Hyrul Anuar), Wayang Puaka (Zulkarnain Azhar) dan Airforce The Movie: Selagi Bernyawa (Frank See).


Filem berkenaan dibintangi Azrel Ismail, Baby Shima, Alif Satar, Elisya Sandha, Zizan Razak, Rita Rudaini, Nadia Brian, Fasha Sandha, Scha Alyahya, Datuk Adi Putra, Pablo Amirul, Sara Ali, Johan As'ari dan ramai lagi. -BH Online



bottom of page