top of page
  • newsatmy

Kena tolong-menolong, usah pentingkan diri - Kuna

11 Mac 2021

Menyedari banyak pihak terjejas kerana Covid-19, pelakon Kuna Muzaini tidak kisah berkongsi rezeki dimiliki dengan orang lain bagi meringankan beban mereka, khususnya rakan-rakan yang berjuang dalam industri sama.


Kata Kuna, hasratnya itu timbul apabila dia berasa hiba terkenangkan nasib menimpa kru produksi yang hilang punca pendapatan apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.


Bagi pemilik nama asal Tengku Sarina Tengku Muzani itu, apa perlu dilakukannya ketika ini adalah mengetepikan perasaan mementingkan diri sendiri.


“Pendapatan mereka tak seberapa. Ada pula yang tak mampu untuk beli susu anak, ada juga tak boleh bayar sewa rumah dan dihalau keluar.


“Justeru, kena ada sikap tolong menolong, tak boleh pentingkan diri sendiri,” katanya.


Menurut pelakon Dunia Punya Cerita itu, misi membantu itu dijalankan bersama beberapa rakan lain dengan setiap bulan menyasarkan keperluan dapur untuk kegunaan lima hingga enam rumah di sekitar Ampang.


“Tak perlu malu, sebab memang semua orang sedang susah sekarang ni. Siapa kru produksi yang nak datang, ambil saja. Tak ada kriteria pemilihan untuk penerima bantuan yang ditetapkan.


“Kami juga menyalurkan bantuan kepada pelajar Universiti Islam Antarabangsa yang terkesan, ibu tunggal dan juga golongan fakir miskin.


"Jika boleh sebenarnya memang kami nak bagi banyak-banyak,” katanya.


Kuna ditemui pada majlis pelancaran koleksi busana raya, 9 Generasi, rekaan Azirun Ramly di Sentul, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Selain Kuna, jenama 9 Generasi itu turut menampilkan tiga lagi selebriti tempatan dalam kolaborasi edisi kali ini iaitu Hafreez Adam, Ayu Damit dan Rykarl Iskandar.


Ditanya mengenai keadaan ekonominya ketika PKP, Kuna menjawab, dia bersyukur kerana perniagaan karipap pusing yang diusahakan sedikit sebanyak membantu meneruskan kelangsungan hidupnya.


“Alhamdulillah, saya sentiasa beringat untuk berdepan situasi kecemasan seperti ni, syukur jualan laris,” katanya.


Menurut Kuna, bukan saja dari sudut keperluan rumah, dia turut ‘beralah’ dengan melepaskan tawaran lakonan yang diterima kepada rakan pelakon lain yang lebih memerlukan.


Katanya, dia kasihan apabila melihat situasi rakan-rakan artis yang sudah lama tidak dipanggil berlakon bertambah rumit apabila berdepan Covid-19.


“Jika bukan kawan-kawan yang boleh menolong, siapa lagi nak bantu?,” katanya. - MK



bottom of page