top of page
  • Writer's pictureNihaba

Kenapa harga minyak masak naik?


Dua tiga hari ini, rata-rata pengguna mengeluh berikutan kenaikan harga minyak masak botol dua kilogram (kg) dan lima kg. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan merupakan kementerian yang bertanggungjawab dan sehingga ke hari ini, masih teruk dikecam oleh pengguna media sosial kerana gagal mengawal kenaikan harga minyak masak untuk kegunaan domestik.


Tinjauan di beberapa pasar raya, kedai serbaneka serta Pasar Mini di Larkin dan Tampoi, di sini, mendapati minyak masak dalam botol lima kilogram (kg) melonjak naik melepasi harga antara RM30 hingga RM32.70 sebotol berbanding hanya RM25.90 hingga RM28 sebotol sebelum ini. Di Alor Setar, tinjauan di beberapa pasar raya dan kedai runcit di daerah ini mendapati, harga minyak masak naik sekitar RM4 hingga RM7 sebotol berbanding harga sebelum ini. Jika sebelum ini, harga minyak masak botol lima kg itu hanya antara RM25.90 hingga RM28. Di Melaka, harga minyak masak botol dua kg naik kepada antara RM12 hingga RM12.50 berbanding antara RM9 hingga RM10 sebelum ini manakala minyak masak lima kg naik kepada antara RM33 hingga RM33.50 berbanding antara RM24.50 hingga RM27.50 sebelum ini. Ada juga dilaporkan di media bahawa kenaikan harga minyak masak dikesan sejak awal tahun ini sebanyak 10 peratus berbanding tahun lalu.


Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menerima banyak rungutan daripada orang ramai berhubung peningkatan harga minyak masak botol di pasaran. Beliau juga menggesa supaya pihak berwajib mencari kaedah supaya kenaikan minyak masak boleh dibendung kerana ia akan membebankan pengguna. Pengguna kini terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dan kehilangan pendapatan akibat COVID 19. Minyak masak adalah satu keperluan asas kepada pengguna untuk memasak di rumah dan kenaikan harga ini menjadi satu bebanan kepada pengguna. Malah, minyak masak bersubsidi sukar diperoleh oleh pengguna kerana stoknya terhad dan beliau berharap pihak KPDNHEP menambah kuota kepada minyak masak bersubsidi bagi kemudahan pengguna.


Mengulas kenaikan harga minyak masak secara mendadak ini, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggua (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar, berkata, kerajaan hanya mengawal harga minyak masak paket satu kg tetapi tidak berbuat demikian pada minyak masak botol. Memandangkan harga minyak masak botol dua hingga lima kg bergantung kepada harga pasaran minyak sawit mentah dunia dan kos lain yang menyumbang kepada penentuan harga runcit seperti kos operasi, bahan mentah dan pembungkusan, sekiranya harga komoditi minyak sawit mentah naik, sudah tentulah harga minyak sawit ditapis juga akan naik.


Sementara itu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin bin Aman Razali menjelaskan, kenaikan harga minyak sawit mentah sangat memberi kesan pada harga minyak masak. Tambahnya lagi, harga minyak sawit mentah di pasaran dunia sekarang ialah antara RM4,000 hingga RM4,500 bagi setiap satu tan berbanding hanya sekitar RM2,000 pada 2019 dan sebelumnya. Kesannya harga buah tandan segar di ladang naik sekitar RM1,000 per tan berbanding RM300 per tan sebelum ini. Taburan purata harga minyak sawit mentah untuk 2021 berbanding 2020 adalah seperti berikut:



Pemerhatian yang boleh kita buat disini adalah, ekoran kenaikan harga minyak sawit mentah ini, maka berlakulah kenaikan harga pada minyak sawit bertapis atau minyak masak. Harga minyak masak bertapis berkadar langsung dengan kenaikan minyak sawit mentah dan pastinya lebih tinggi iaitu sekitar RM5,000 per tan berbanding harga minyak sawit mentah. Oleh sebab itu, dengan harga minyak sawit mentah antara RM4,000 hingga RM4,500 purata kita boleh anggarkan yang kos harga minyak masak di kilang ialah RM4.50 hingga RM5 bagi setiap kg. Liter minyak masak yang biasanya dibeli oleh pengguna untuk kegunaan setiap bulan ialah 5kg, maka kita boleh anggarkan harga penghasilannya adalah sekitar RM25. Ini belum dikira kos pembungkusan dan lain-lain.


Kita lihat pula bagaimana kerajaan boleh bantu meringankan beban rakyat yang berkategori miskin tegar hinggalah B40. Untuk makluman pembaca, kerajaan telah menyediakan harga subsidi RM2.50 dengan pek 1kg meskipun harga modal di kilang menjangkau RM5 untuk 12 juta rakyat. Secara puratanya, kerajaan membayar untuk subsidi 720,000 tan setahun atau sebanyak 720 juta pek minyak masak 1kg dikeluarkan bersamaan 5kg untuk setiap orang dari kategori B40. Purata satu keluarga di Malaysia terdiri daripada 5 ahli keluarga. Kita boleh andaikan setiap satu keluarga akan menikmati 25kg minyak masak bersubsidi dengan jumlah harga RM62.50 berbanding harga minyak masak botol dengan jumlah liter yang sama iaitu RM165.00. itu jika kita fokuskan hanya untuk kategori B40. Bagaimana senarionya jika kesemua rakyat Malaysia seramai 32 juta orang menggunakan minyak masak bersubsidi? Untuk setiap seorang rakyat Malaysia, akan menikmati 1.8kg minyak masak bersubsidi. Dengan menggunakan anggaran tadi iaitu seramai 5 orang dalam setiap satu keluarga, maka satu keluarga akan menikmati 9kg minyak bersubsidi dengan jumlah yang perlu dibayar sebanyak RM22.50 berbanding harga minyak masak botol sebanyak RM59.40.


Masyarakat kita agak skeptikal dengan minyak masak pek jika dibandingkan dengan minyak masak botol. Sebenarnya kualiti kedua-dua minyak ini adalah sama dan tidak perlu dirisaukan. Ini turut disahkan oleh Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di dalam akaun twitternya. Jadi, kita sebagai pengguna harus bijak memilih dalam membeli produk atau barangan yang lebih menguntungkan kita. Ya, agak sedikit menyusahkan jika ingin membeli minyak masak di dalam pek polibeg sebab setiap satu hanya dipekkan 1 liter sahaja. Namun, apa salahnya bersusah sedikit jika banyak yang kita boleh jimatkan.


Saya tidak mahu sentuh langsung mengenai bagaimana harga minyak sawit mentah telah memberi manfaat kepada lebih 3 juta peneroka yang menanam sawit kerana saya lebih tertarik untuk menyentuh sikap orang kita yang berkemampuan yang terlalu memikirkan kenaikan yang tidak seberapa jika dibandingkan dengan penggunaan minyak masak sebulan. Malah jika kita membeli minyak masak bersubsidi, kita masih boleh menikmati penjimatannya sesuai dengan petikan kalimah Allah di dalam Surah Ar Rahman ayat 13 yang diulang sebanyak 31 kali;


فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُما تُكَذِّبانِ

“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kau dustakan?” (ar-Rahman: 13).



Mohammed Nizam Bin Hassan.

bottom of page