• newsatmy

Kepentingan pembukaan sekolah kepada murid berkeperluan khas


Pembukaan sekolah mengundang kebimbangan kepada ibu bapa dan guru yang mengajar murid berkeperluan khas (MBK) berikutan kes COVID-19 masih lagi direkodkan di negara ini. Ini juga kerana MBK merupakan golongan yang berisiko tinggi dijangkiti virus tersebut. Berikutan itu, ada dalam kalangan ibu bapa yang enggan menghantar anak mereka ke sekolah yang bermula 1 Mac lepas.


Impak Tidak Ke Bersekolah


Sepanjang tempoh pandemik COVID-19, MBK telah mengalami ketidakstabilan emosi dan tingkah laku yang negatif. Kajian di luar negara menunjukkan jumlah MBK yang disahkan mengalami masalah emosi meningkat daripada 18.9 peratus kepada 27.3 peratus pada tahun 2020.


Peningkatan yang mendadak ini berlaku akibat daripada tempoh kuarantin yang lama serta perubahan ketara terhadap rutin dan akses pembelajaran dan perkhidmatan yang diperoleh mereka. Bagaimanapun, kajian berskala besar yang berkaitan dengan kesan pandemik COVID-19 terhadap MBK masih belum dilaksanakan di negara ini.


Tindakan menghalang MBK untuk akses ke sekolah adalah penanda yang tidak baik kepada pendidikan mereka. Hal Ini kerana MBK memerlukan rancangan pendidikan yang khusus serta bimbingan daripada guru-guru yang terlatih serta khidmat terapi bagi mengoptimumkan pembelajaran mereka. Sekiranya akses pendidikan ini terhalang, maka mereka akan terus tercicir berbanding dengan rakan tipikal.


Selain itu, tindakan menghalang MBK ke sekolah ini juga turut mencabar dasar negara. Dasar Zero Reject Policy yang dilaksanakan di negara ini adalah bertujuan untuk membolehkan semua MBK akses kepada pendidikan sama ada di Sekolah Pendidikan Khas atau ke Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Program Inklusif yang ada di sekolah arus perdana. Secara langsung, dasar ini membantu MBK menerima pendidikan yang sama seperti rakan lain.


Joline et al (2020) telah mengemukakan beberapa cadangan bagi membantu melancarkan pengurusan MBK di sekolah semasa pandemik COVID-19 iaitu:


1. Ibu bapa dan guru mengadakan perbincangan bersama untuk menyemak serta mengemas kini Rancangan Pendidikan Individu. Rancangan Pendidikan Individu dapat membantu guru untuk merancang pendidikan yang sesuai dengan keperluan MBK.


2. Ibu bapa, guru dan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) bekerjasama untuk melatih MBK mengikuti SOP. MBK perlu sentiasa diingatkan untuk mengambil suhu, memakai pelitup hidung dan mulut dan membasuh tangan secara kerap. Malah, sistem reward turut dicadangkan untuk diberikan kepada MBK yang dapat mengikuti SOP dengan betul.


3. Bagi MBK yang mempunyai masalah tingkah laku atau tidak mahu memakai topeng muka, guru perlu:


Meletakkan MBK di bawah pengawasan pembantu pengurusan murid yang sama.

Menggalak dan mengingatkan keluarga MBK supaya sentiasa menjaga jarak sosial dan mengehadkan interaksi sosial

Mencadangkan agar ahli keluarga menjalani ujian COVID-19 secara berkala bagi memastikan mereka mempunyai kesihatan yang baik


4. Selain pelitup hidung dan mulut, penggunaan Face Shield dan Goggles dalam kalangan guru dan Pembantu Pengurusan Murid adalah digalakkan bagi memudahkan mereka menguruskan MBK yang mempunyai masalah mobiliti, toilet training serta makan. Selain itu, penggunaan Face Shield dan Goggles juga dapat mengurangkan risiko terkena titisan yang dihasilkan oleh MBK semasa mereka bercakap, batuk, bersin atau menyanyi.


5. Guru dan Pembantu Pengurusan Murid perlu mengenali setiap perubahan yang berlaku kepada MBK terutamanya kepada MBK yang mengalami masalah untuk bertutur


6. Guru dan Pembantu Pengurusan Murid haruslah memberi kelonggaran kepada MBK untuk tidak menggunakan topeng muka bagi beberapa minit atau apabila perlu.


7. Sekolah juga haruslah membuat penggiliran MBK yang hadir ke sekolah demi menangani penularan COVID-19. Maka, jumlah yang dicadangkan dalam satu kelas ialah dua hingga hingga orang MBK sahaja.


Pembukaan sekolah bagi MBK semasa pandemik COVID-19 seiring dengan pembukaan sekolah bagi murid tipikal membuktikan hak MBK turut dihormati di negara ini. Namun, pembukaan sekolah ini perlulah mendapat kerjasama daripada semua pemegang taruh iaitu ibu bapa, guru, MBK, Pembantu Pengurusan Murid serta pencuci sekolah agar dapat memastikan keselamatan dan kesejahteraan hidup MBK terjamin.


-- BERNAMA