top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Keputusan PM usul Undi Percaya satu tindakan berani

9 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Keputusan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengusulkan undi percaya terhadap dirinya pada sidang Parlimen bulan depan disifatkan sebagai satu tindakan yang berani, bijak serta langkah terbaik untuk menyelesaikan kemelut politik yang melanda negara.


Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sarawak, Senator Jaziri Alkaf berkata langkah yang diambil oleh Tan Sri Muhyiddin itu adalah berlandaskan Perlembagaan Negara.


Tambah beliau, penghargaan harus diberikan atas langkah Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersama Ahli-Ahli Parlimen GPS yang terus menyokong kerajaan PN.


“Tindakan mengheret rakyat dalam krisis politik dan cubaan menumbangkan kerajaan dalam keadaan rakyat dan negara sedang berdepan ancaman pandemik COVID-19, menunjukkan kepimpinan berjiwa besar Ketua Menteri Sarawak bersama barisan kepimpinannya dalam mempertahankan hak dan keselamatan rakyat terutamanya dalam keadaan pandemik ini.


“Matlamat dan keutamaan rakyat adalah dalam menangani masalah pandemik, selain usaha secara bersungguh untuk mempercepatkan proses vaksinasi dan memulihkan ekonomi negara melalui agenda Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang kini sedang rancak dilaksanakan,” katanya kepada Wacana.my pada Ahad.


Di samping itu, beliau juga berharap agar semua Ahli Parlimen dapat bersikap rasional demi rakyat dan menyelesaikan masalah pandemik secara bersama selain menghentikan dahulu permainan politiking mereka.


Katanya, semua ahli politik boleh menentukan pendirian masing-masing sama ada mahu menyokong atau tidak usul percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat bulan depan.


“Bersama-sama kita berdoa dan berusaha agar negara kita dilindungi daripada musibah berterusan akibat pandemik COVID-19 serta keadaan politik dan ekonomi negara di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal stabil, kukuh dan harmoni demi untuk seluruh rakyat Malaysia amnya dan rakyat Sarawak khususnya,” katanya.



--PN Online

bottom of page