• newsatmy

Kerajaan, agensi pastikan pendidikan pengurusan kewangan berterusan - Zafrul

28 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Kerajaan serta agensi berkaitan akan terus memberi pendidikan dan pengurusan kewangan kepada rakyat bagi mengelak berlakunya perbelanjaan berlebihan, hutang yang tidak terurus atau kebankrapan.


Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, walaupun pelbagai inisiatif telah dijalankan, namun masih terdapat rakyat yang kehilangan simpanan akibat penipuan.


"Ada melalui skim cepat kaya, pelaburan logam berharga, perdagangan mata wang asing dan sebagainya.


"Nasihat saya adalah tolong berhati-hati dan jangan ikuti skim pelaburan yang menjanjikan pulangan yang terlalu lumayan.


"Salah satu sebab mengapa topik kesejahteraan kewangan sentiasa menjadi isu semasa, adalah kerana isu ini relevan kepada semua orang, di mana-mana tahap kehidupan kita," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada program My Money & Me anjuran Majlis Perancangan Kewangan Malaysia secara maya pada Sabtu.


Jelasnya, mereka yang celik kewangan, boleh membuat keputusan kewangan yang baik untuk diri sendiri dan juga keluarga.


Ia termasuk daripada segi pelaburan, simpanan atau bajet perbelanjaan.


"Merancang kewangan ini tidak ada had umurnya.


"Amatlah digalakkan untuk mula merancang pada awal usia supaya kita boleh memanfaatkan tempoh yang lebih untuk mengukuhkan keadaan kewangan kita dan membina kekayaan," katanya.


Justeru, katanya tahap kesedaran kewangan yang tinggi serta sikap yang matang dan kemahiran adalah penting untuk membuat keputusan kewangan yang bijak.


- Astro Awani