• newsatmy

Kerajaan akan mempertimbangkan untuk memberi vaksin fasa pertama kepada guru yang berisiko.

21 Febuari 2021


SEPANG - Kerajaan akan mempertimbangkan untuk memberi vaksin Pfizer-BioNTech fasa pertama kepada kelompok guru paling berisiko.


Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya akan membincangkan perkara itu dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) susulan banyak permohonan diterima daripada guru untuk mendapatkan vaksin tersebut.


Menurutnya, kategori berisiko tinggi itu melibatkan guru yang mempunyai penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis.


"Kumpulan yang harus diberi keutamaan ialah kumpulan guru paling berisiko.


"Kita cuba untuk beri kepada guru dan petugas media, tetapi bergantung kepada penilaian risiko terlebih dahulu," katanya pada sidang akhbar secara maya Ketibaan Bekalan Vaksin Covid-19 Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Ahad.


Khairy Jamaluddin berkata, beliau melihat ada kewajaran untuk mempertimbangkan permohonan tersebut memandangkan sekolah akan dibuka kembali awal Mac ini.


Sinar Harian pada 7 Februari lalu melaporkan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) meminta supaya kerajaan


memberi keutamaan kepada guru dalam melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada hujung bulan ini.

Presidennya, Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, keutamaan tersebut dilihat sebagai langkah penting bagi memastikan persekitaran yang selamat untuk anak-anak dan memberikan kestabilan ekosistem pendidikan. - Astro Awani