top of page
  • newsatmy

Kerajaan Johor beri lampu hijau tanah wakaf dibangunkan

22 NOVEMBER 2021

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) membenarkan tanah wakaf diusahakan untuk memberi manfaat kepada masyarakat yang memerlukan.


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, ia melibatkan beberapa institusi seperti agensi kerajaan, swasta, individu dan koperasi.


“Bagi pewakaf yang mewakafkan bangunan atau rumah kediaman mereka, MAINJ telah menyewakan premis kediaman tersebut kepada masyarakat awam dengan kadar sewa yang telah dipersetujui.


“Hasil sewaan yang diperolehi itu akan dikembalikan untuk tujuan pembangunan mengikut hujjah wakaf yang telah ditetapkan,” katanya semasa menjawab soalan Abd. Taib Abu Bakar (BN-Machap) tentang usaha kerajaan negeri bagi memajukan tanah wakaf daripada terus terbiar pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-14, di Kota Iskandar hari ini.


Dalam pada itu, beliau berkata, MAINJ turut merancang untuk membangunkan sebuah hospital pakar dan kebajikan di tanah wakaf di Jalan Tahana, Bandar Baru Uda dengan usahasama Perbadanan Islam Johor (PIJ).



“Selain itu, MAINJ bekerjasama bersama Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) untuk membina sekolah agama di seluruh negeri ini menampung keperluan dan kelengkapan serta bilangan pelajar yang semakin meningkat setiap tahun,” ujarnya.

bottom of page