top of page
  • admin

Kerajaan perlu tunaikan janji memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971.

26 Feb

PRESIDEN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengingatkan kerajaan mengenai janji manifesto PRU15 untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971.

“Jangan lupa PH pernah berjanji untuk memansuhkan Auku semasa kempen PRU15. Ramai pemimpin telah mengulangi janji dalam ceramah,” katanya dalam hantaran di Instagram.

“Kita mesti berpegang pada komitmen ini. Pelajar mesti dilengkapi dengan kemahiran berfikir secara kritis dan ia bermula di dalam kelas.”


Minggu lalu, Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak bercadang memansuhkan Auku.


Menjawab pertanyaan Hassan Karim (PH-Pasir Gudang), beliau berkata, akta itu masih relevan terutamanya melibatkan urus tadbir universiti.

“Pemansuhan Auku akan menjejaskan tadbir urus universiti awam terutamanya sewaktu peralihan akta,” katanya, lapor FMT.


Syed Saddiq berkata, Auku bukan sahaja menyekat suara pelajar, tetapi memberi kuasa kepada ahli politik menentukan pentadbiran di semua universiti.

“Saya adalah antara ramai mangsa Auku hanya kerana mengkritik salah guna kuasa dan rasuah seperti skandal IMDB. Saya dipecat sebagai pensyarah sementara dan jurulatih debat di universiti.

“Ia sehingga tahap di mana saya tidak dijemput untuk konvokesyen saya sendiri, sebab itu kita mesti berjuang untuk memansuhkan Auku. Akta itu telah menyekat suara ramai pelajar dan terdapat banyak contoh,” katanya.


Tambahnya, timbalan menteri belia dan sukan sekarang, Adam Adli antara pemimpin pelajar yang ditindas kerana Auku dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak dibenarkan memasuki alumninya (Universiti Malaya) untuk bertemu pelajar ketika dalam pembangkang.


Bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik sebelum ini, berkata jawatankuasa kerja pemansuhan akta itu telah dibentuk dan ditugaskan menyediakan draf akta baharu bagi menggabungkan kedua-dua Auku dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta.


Bagaimanapun, ia tidak dapat dilakukan selepas kerajaan PH tumbang pada Februari 2020. Penggantinya Noraini Ahmad dilaporkan berkata, tiada keperluan menggantikan kedua-dua akta tersebut.

Comments


bottom of page