• Arissa

Kerajaan PN Belum Runtuh, Sokongan 32 MP BN Tidak Berganjak

8 Julai 2021

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz memberi jaminan sokongan sekurang-kurangnya 32 ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada ketika ini masih tidak berganjak.


Beliau berkata sedemikian bagi menjawab desas-desus majoriti ahli Parlimen UMNO dikatakan akur dengan keputusan terkini dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti Rabu malam yang memuktamadkan penarikan sokongan parti itu terhadap kerajaan PN serta-merta.


Jelas Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas itu, sokongan 32 ahli Parlimen UMNO berkenaan bakal diterjemahkan dalam bentuk pengundian terhadap sebarang usul dikemukakan pada sidang Parlimen akan datang.


“Setakat pengetahuan saya, jumlah 32 ahli Parlimen UMNO yang mengikut ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 iaitu menyokong kerajaan PN sehingga pembubaran Parlimen, adalah kukuh…Bahkan mungkin bertambah kepada 35 orang.


“Kalau ada yang berubah hati selepas keputusan MKT malam tadi (Rabu malam), ahli Parlimen UMNO berkenaan mungkin terdiri geng yang mahu tarik sokongan seperti Zahid; Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak; Ahmad Maslan (Datuk Seri Ahmad Maslan); Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ku Li (Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah).


“Kalau umum sekarang pun tidak guna. Kita akan buktikan sokongan kepada kerajaan PN dalam sidang Parlimen akan datang,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.


Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan hasil keputusan mesyuarat MKT pada Rabu malam memutuskan untuk menarik sokongan daripada kerajaan PN serta-merta.


Selepas hampir lima jam bermesyuarat, Ahmad Zahid menegaskan ketetapan tersebut diambil berpandukan tujuh kegagalan kerajaan PN yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memenuhi aspirasi yang digariskan parti itu.