• Arissa Azman

Kerajaan PN masih sah - Takiyuddin

11 Julai 2021

KOTA BHARU: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih sah mengikut perundangan malah kepimpinan yang menerajui negara berjalan seperti biasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan.


Katanya perkara itu juga telah mendapat pandangan yang jelas daripada penasihat undang-undang kepada kerajaan iaitu Peguam Negara Tan Sri Idris Harun.


Beliau berkata kerajaan sudah meminta pandangan Peguam Negara bagi mendapatkan pencerahan dari sudut perundangan mengenai kedudukan kerajaan itu pada 8 Julai lepas.


"Peguam Negara menyatakan bahawa kerajaan yang ada ketika ini adalah kerajaan yang sah dalam perlembagaan dan undang-undang. Kerajaan juga berjalan seperti biasa.


"Kenyataan Peguam Negara itu jelas mencerahkan bahawa yang menentukan sebuah kerajaan itu adalah Ahli-Ahli Parlimen dan setakat ini, kerajaan maklum tiada seorang pun lagi yang menyatakan mengikut undang-undang bahawa mereka menarik diri daripada menyokong kerajaan," katanya.


Takiyuddin, yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Bakul Makanan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) kepada penduduk kampung di Tanjung Chat di sini hari ini.


Beliau diminta mengulas kedudukan kerajaan PN selepas UMNO memutuskan untuk menarik balik dan menamatkan sokongan serta-merta terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.


Ditanya pendirian Pas berhubung keputusan UMNO itu, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas berkata pihaknya tetap dengan pendirian untuk memperkasa Muafakat Nasional serta mempertahankan PN.


"Ini kerana kerajaan (PN) dibina bersama parti-parti yang menyokong dan bukan satu tetapi lebih daripada 10 parti yang menyokong kerajaan yang ada kini.


"Pas tidak nampak ada satu masalah untuk mempertahan kedudukan kerajaan," katanya.



-- BERNAMA