• Arissa

Kerajaan Sabah sedia adakan sidang DUN

19 Jun 2021

KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah menyatakan kesediaan untuk mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada bila-bila masa sekiranya keadaan mengizinkan.


Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau telah berbincang mengenai perkara itu dengan Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim Yahya semalam.


"Saya sudah berbincang dengan Speaker DUN susulan kenyataan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.


"Kami akan meminta nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) terlebih dahulu dan kami sedia untuk bersidang semula dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.


Pada Rabu, Istana Negara dalam kenyataan menzahirkan pandangan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah supaya persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.


Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda bertitah, ini bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.


-Awani