• newsatmy

Kerajaan sedia bincang cadangan kecualikan cukai hiburan pawagam

21 Mac 2021

Kerajaan sedia berbincang mengenai cadangan pengecualian cukai hiburan bagi syarikat pengendali pawagam yang terjejas akibat penularan Covid-19.


Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata terdapat aduan dan cadangan mengenai perkara itu daripada pihak industri namun belum ada sebarang memorandum secara rasmi dihantar kepada kementerian tersebut.


Saifuddin berkata kutipan cukai hiburan adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) sesebuah negeri, namun kerajaan persekutuan terbuka untuk berbincang.


"Saya telah dengar aduan (pengecualian cukai hiburan) ini sudah lama namun sejak musim Covid-19, perkara ini semakin hangat dibincangkan. Belum ada memorandum rasmi tapi perkara ini dalam pengetahuan saya dan kita sedang menelitinya.



"Saya amat mengalu-alukan jika ada pemohonan rasmi dibuat dan kita sedia untuk berbincang sebab ini musim (Covid-19), semua orang menderita, apa yang kita boleh bantu, kita bantu," katanya.


Saifuddin berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pawagam di Golden Screen Cinema (GSC) Midvalley Megamall di Kuala Lumpur hari ini.


Saifuddin juga menyeru orang ramai agar tidak bimbang untuk menonton wayang selepas kerajaan membenarkan sektor itu kembali beroperasi dengan pematuhan SOP yang ketat.


Dia berkata berdasarkan data penularan wabak itu di negara ini, industri kreatif termasuk operasi panggung wayang bukan sektor utama yang menyumbang kepada kluster Covid-19.


Bagaimanapun, katanya biarpun kerajaan memberi kelonggaran untuk industri itu beroperasi, semua pihak perlu mengambil tanggungjawab dan berhati-hati dalam mematuhi setiap SOP yang ditetapkan.


"Saya menyeru orang ramai datang ke pawagam dan patuh SOP kerana pembukaan panggung wayang ini sekali gus dapat membantu ekonomi dan pendapatan petugas pawagam dan industri berkaitan," katanya.


- Bernama



Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.