top of page
  • Writer's pictureNihaba

Kerajaan setuju lupus hutang lapuk Felcra Berhad berjumlah RM233.8 juta


TAPAH, 17 Okt- Kerajaan secara prinsip bersetuju melupuskan hutang lapuk Felcra Berhad berjumlah RM233.8 juta melibatkan hampir 20,000 peserta di seluruh negara. Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu perlu dibawa ke Mesyuarat Kabinet terlebih dahulu, sebelum keputusan mengenainya dibuat. "Walaupun dah bersetuju, prosedur kena bawa ke Mesyuarat Kabinet untuk dibincangkan tetapi mesyuarat tak boleh diadakan kerana Parlimen telah dibubarkan," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Peserta Felcra Berhad, Pekebun Kecil RISDA dan Warga Orang Asli JAKOA di sini.


Sementara itu, Datuk Seri Ismail Sabri memberitahu, Felcra Berhad telah berjaya membangunkan tanah-tanah terbiar kelompok kecil dan kurang berdaya maju, menjadi sebuah estet milik peserta dengan kos pengurusan minimum serendah 6.5 peratus. "Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Felcra Berhad dalam melaksanakan pembangunan tanah terbiar apabila berjaya menaikkan nilai tanah luar bandar melebihi 204,000 hektar yang memberi manfaat kepada lebih 103,000 peserta di seluruh negara," ujarnya. Perdana Menteri memaklumkan, sehingga Disember 2021, 323 projek dengan keluasan 22,173 hektar dikenal pasti sebagai projek kurang berdaya maju. Pada majlis tersebut, beliau turut mengumumkan Keuntungan Boleh Agih Interim 2/2022 berjumlah RM181.5 juta kepada 74,949 peserta di seluruh negara. Bayaran akan dibuat secara berperingkat mulai hari ini. "Saya juga gembira kerana Felcra Berhad berjaya mengekalkan prestasi yang baik apabila mencatat kenaikan hampir RM51 juta atau 38.1 peratus berbanding prestasi pada tahun lalu, sekali gus membuktikan kecekapan Kerajaan Keluarga Malaysia dalam mengurus tadbir ekonomi negara," ujarnya lagi.

bottom of page