• newsatmy

Kerajaan teruskan proses perundangan isu antiminyak sawit

19 Mac 2021 KUALA LUMPUR : Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan terus mengutamakan proses perundangan terhadap Kesatuan Eropah (EU) berhubung isu antiminyak sawit bagi memastikan kepentingan industri sawit negara merangkumi pekebun kecil sawit diutamakan.


Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Malaysia akan meneliti keseluruhan maklum balas dan penjelasan yang diberikan oleh EU sepanjang sesi konsultasi diadakan.


"Sebarang tindakan susulan akan diambil sewajarnya selaras dengan peraturan dan prosedur yang telah digariskan di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Pada 17 Mac lalu, Malaysia mengadakan sesi konsultasi secara maya bersama EU berhubung tindakan undang-undang ke atas kesatuan berkenaan berkaitan isu yang dikaitkan dengan diskriminasi kepada industri sawit negara.


Mohd Khairuddin berkata, pelaksanaan sesi konsultasi itu adalah susulan daripada permohonan Malaysia melalui DSM yang dibuat pada 15 Januari lalu.


"Sesi konsultasi ini antara lain adalah platform bagi mendapatkan penjelasan dan pemahaman lanjut berhubung tindakan EU terhadap pelaksanaan Delegated Regulation di bawah EU RED II.


"Selain itu, ia juga menjadi antara usaha ke arah penyelesaian kepada isu-isu yang dilihat sebagai diskriminasi ke atas minyak sawit negara yang dibangkitkan oleh Malaysia," katanya.

Januari lalu, Malaysia memulakan tindakan undang-undang ke atas EU berikutan kempen antiminyak sawit.


KPPK dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memulakan tindakan undang-undang terhadap EU serta negara anggotanya iaitu Perancis dan Lithuania dengan memfailkan suatu permohonan untuk konsultasi melalui Mekanisme Penyelesaian Pertikaian (DSM) di WTO.


Tindakan undang-undang itu adalah susulan dari langkah yang dikenakan EU dan negara anggotanya itu berkaitan pelaksanaan 'Delegated Regulation di bawah European Union Renewable Energy Directive 2018/2001 (EU RED II)' yang memberi kesan kepada industri sawit negara.


Sebelum ini, Malaysia telah melaksanakan pelbagai langkah termasuklah mengadakan Misi Ekonomi dan Teknikal ke Eropah selain memberikan maklum balas terhadap pelaksanaan EU RED II.


Namun, EU tetap meneruskan pelaksanaan EU RED II tanpa mengambil kira komitmen serta pandangan Malaysia.


Pelaksanaan EU RED II itu telah mengklasifikasikan minyak sawit sebagai suatu produk yang mempunyai kadar risiko perubahan guna tanah secara tidak langsung (ILUC) yang tinggi.


Tindakan EU itu juga adalah bertentangan dengan prinsip amalan perdagangan bebas yang telah digariskan oleh WTO. -Harian Metro