top of page
  • zaman

Kerajaan tidak mempunyai kerangka hala tuju ekonomi yang jelas.


KUALA LUMPUR 2 Mac: Kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai kerangka hala tuju ekonomi yang jelas. Lebih mengejutkan, Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dihasilkan oleh pegawai Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, tidak lagi dilaksanakan.


Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) berkata, WKB 2030 dilaksanakan oleh Perdana Menteri sebelum ini, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Katanya, WKB 2030 dilancarkan oleh Perdana Menteri ke-7 pada 2019 bagi merapatkan jurang ekonomi dalam kalangan Bumiputera di negara ini.

“Malangnya WKB 2030 tidak lagi diteruskan Perdana Menteri ke-10 biarpun ia mempunyai hala tuju bagi membantu rakyat.

“Apa yang berlaku pada pembentangan Bajet 2023, WKB 2030 dan Rancangan Malaysia ke-12 tidak lagi disebut Perdana Menteri,” katanya ketika membahas usul Rang Undang-Undang Pembekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.


WKB 2030 yang dilancar oleh Dr Mahathir merupakan hala tuju ekonomi negara bagi tempoh 10 tahun bermula 2021-2030.


Pelan itu dianggap sebagai kelangsungan kepada Wawasan 2020, mengambil kira keadaan semasa dan jangkaan keadaan yang berlaku dalam tempoh 10 tahun.


Dr Mohd Radzi berkata, Bajet 2023 kerajaan campuran juga tidak memperlihatkan kerangka dan hala tuju yang jelas sehingga mengelirukan pelabur dan pemain pasaran modal.


Katanya, kandungan Belanjawan 2023 hanya asyik menyebut berkaitan Malaysia Madani menyebabkan situasi yang berlaku itu mendorong ada pihak menggambarkan kerajaan sekarang seperti IT (Ikut terlintas)

bottom of page