• Nihaba

Kerajaan Tumbang: Seterusnya Apa?


Pendedahan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak menolak kemungkinan seolah-olah wujud konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh beliau membuat kita berfikir sejenak dan tertanya-tanya siapa dan kenapa mereka berbuat demikian. Apa yang jelas, kemelut politik yang tidak berkesudahan sehingga hari ini adalah berpunca daripada beberapa individu yang tidak dapat membendung nafsu besar politik mereka.


Ada yang berbuat sedemikian semata-mata mahu meloloskan diri daripada berdepan pengadilan dan hukuman susulan deretan pertuduhan jenayah yang didakwa dilakukan oleh dua individu berkenaan. Tugas mereka hanya satu, merumitkan keadaan dan memberi gambaran yang tidak tepat kepada rakyat. Ya, mereka ini dahulunya pernah berkuasa, salah seorangnya pernah menjadi Perdana Menteri dan seorang lagi Timbalan Perdana Menteri. Tetapi mereka terlibat dalam kes-kes mahkamah yang besar berhubung kait dengan rasuah dan skandal terbesar yang dihadapi Malaysia.


Juga tidak menolak sikap rakus seseorang individu yang sudah lama bercita-cita nak jadi Perdana Menteri, yang terus mencuba dan mencuba selama beberapa tahun merebut kuasa dalam parti yang memerintah kerana ini memang menjadi cita-citanya sejak tahun 1988 lagi. Karier politiknya diwarnai hanya dengan satu warna sahaja, kerana sememangnya dia tidak ada cita-cita lain selain mengangkat dirinya menjadi Perdana Menteri.


Ini antara yang boleh saya fikirkan dan membuat sedikit analisa mudah, siapakah mereka ini dan mengapa mereka sanggup menyusahkan rakyat ketika negara berdepan cabaran getir di dalam menangani pandemik Covid-19 serta pelan-pelan pemulihan yang dicadangkan kerajaan untuk negara. Kepimpinan kerajaan terus menerus ditekan kerana tidak memenuhi kehendak atau permintaan mereka, dan kemuncaknya, mereka ini sanggup melakukan apa sahaja dan terus menerus merebut kuasa demi kepentingan sendiri walaupun mereka tahu akibat daripada perbuatan mereka itu.


Kejatuhan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) setelah 17 bulan berkhidmat, bakal menyaksikan sekali lagi rundingan antara parti-parti politik bagi memilih Perdana Menteri baru, dan tidak dapat dinafikan watak-watak utama yang akan menentukan kerajaan seterusnya, kebanyakannya adalah muka yang sama. Ini kerana, situasi sekarang sama seperti yang lepas apabila tidak ada satu pun gabungan yang memiliki majoriti yang kuat, kukuh dan meyakinkan. Beberapa hari ini, keegoan masing-masing akan diuji, masa depan dan rundingan politik dipertaruhkan ketika parti-parti politik berusaha mengadakan kesefahaman bagi membentuk majoriti baru.


Blok UMNO nampaknya sedang dilanda badai kencang. Sebelum ini terdapat usaha digerakkan untuk mengangkat Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob sebagai pengganti Muhyiddin demi mempertahankan kerajaan PN dengan tunggak utama kerajaan dibarisi oleh UMNO, maka logik mudahnya 15 ahli parlimen UMNO yang diketuai Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi harus memberikan sokongan. Dan ini bermakna status quo akan dapat dikekalkan. Perkara ini tidak disenangi Zahid kerana jika dia menyokong pesaingnya iaitu Ismail, bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan bertambah kuat, dan bakal merugikan Zahid pada pemilihan parti itu nanti. Lalu Zahid menggunakan kuasanya dengan mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO untuk memutuskan calon Perdana Menteri dan tidak membiarkan Ismail menguasai keadaan. Zahid kini seolah-olah terlupa atau buat-buat lupa yang dia masih berdepan dengan tuduhan rasuah dan pecah amanah, laluannya ke Putrajaya sememangnya sukar atau sememangnya dia tahu dan cuba meletakkan calon alternatif yang menyebelahi dia dan kumpulannya iaitu Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah. Nampaknya dia dari awal sudah menyediakan pelan jika keadaan di luar jangkaan berlaku. Meskipun terdapat naratif "No DAP, No Anwar", rentetan peristiwa beberapa bulan lalu menunjukkan Zahid dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim saling berhubung antara satu sama lain dan tugas untuk menyatukan pembangkang akan menjadi perkara yang lebih mencabar bagi Zahid memandangkan ia tidak bersatu dan bukan merupakan pilihan yang popular bagi kalangan akar umbi UMNO.


Di sebelah pihak yang satu lagi pula, walaupun Pakatan Harapan bersatu menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri, sekutu-sekutunya iaitu Amanah dan DAP semakin berasa kecewa kerana dia masih belum berjaya mengumpulkan majoriti. PH hanya mempunyai 88 Ahli Parlimen dan walaupun boleh menyatukan pembangkang, mereka hanya mempunyai 105 Ahli Parlimen, mereka memerlukan seramai 111 Ahli Parlimen diperlukan untuk membentuk majoriti mudah kerana hanya terdapat 220 Ahli Parlimen dan dua kerusi yang kosong di Dewan Rakyat. Ditambah pula kesukaran untuk meyakinkan parti pembangkang seperti Pejuang dan Warisan, yang secara keseluruhan memiliki 12 Ahli Parlimen, yang sememangnya tidak bersedia untuk menyokong Anwar malah sekutu Anwar pernah mencadangkan pelbagai alternatif, termasuk melantik presiden Warisan Shafie Apdal sebagai perdana menteri. Terbaru, Presiden Amanah Mohamad Sabu mencadangkan Ahli Parlimen yang menang dengan tiket PH pada PRU lalu untuk kembali bersama gabungan itu, sesuatu yang sukar diterima buat pemimpin seperti Azmin Ali yang telah menentang Anwar. Berjayakah Anwar meyakinkan kesemua Ahli Parlimen pembangkang dan juga Ahli- Ahli Parlimen serpihan partinya untuk mengangkat dirinya sebagai Perdana Menteri? Pada saya ia bukanlah mustahil tetapi terlalu sukar untuk menjadi kenyataan.


Untuk makluman, Ahli-ahli Parlimen serpihan PKR ini kita boleh kategorikan kepada dua iaitu kumpulan utama, mereka yang sangat kuat dengan sikap anti-Anwar dan tidak mungkin kembali kepada PKR, manakala yang lain sebelum ini melompat parti kerana mendapat tekanan dari PN. Kumpulan Ahli Parlimen seperti Ahli Parlimen Kuala Langat, Xavier Jayakumar misalnya memilih untuk bersikap sederhana berbanding bekas ahli parlimen PKR yang lantang menentang PH. Kumpulan ini berkemungkinan lebih mudah menyokong PH sekali lagi.


Di satu pihak yang lain pula lebih cenderung untuk mengangkat Dr Mahathir yang sebelum ini merupakan regu terbaik yang dihasilkan oleh Bersatu apabila bekerjasama dengan Muhyidin untuk menjatuhkan kleptokrat negara. Punca pergeseran mereka memuncak apabila Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu menolak untuk menyokong kerajaan PN kerana disertai UMNO, di mana kita sedia maklum yang beberapa pemimpinnya menghadapi tuduhan rasuah di mahkamah. Pada awalnya Mahathir menerima kerajaan tanpa "kleptokrat" namun wabak Covid-19 mengubah pendiriannya yang mahukan sebuah pentadbiran ala Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang pernah dilaksanakan dan memerintah negara selepas kejadian rusuhan 1969 hingga 1971. Badan pentadbiran yang dikehendakinya itu terdiri daripada tokoh-tokoh yang bukan ahli politik, namun belum mendapat sokongan besar daripada parti-parti politik utama setakat ini. Walaupun Pejuang mengambil pendirian yang lebih neutral sekarang ini, namun ia boleh berubah jika ada keperluan untuk menyekat kemaraan kumpulan Zahid.


Watak-watak lain seperti GPS dan PAS juga tidak boleh diketepikan mereka yang berkepentingan untuk menjadi Perdana Menteri.


GPS adalah pilihan untuk PH ketika mereka menghadapi kekurangan anggota parlimen. Namun berulang kali, mereka masih gagal meyakinkan GPS. Ini kerana PKR sangat lemah di Sarawak setelah siri melompat parti dan Amanah hampir tidak ada di negeri itu, DAP menjadi saingan utama dan hubungan di peringkat negeri pula bermusuhan. Sehingga kini, GPS secara terbuka terus menyokong PN. Meskipun sukar, GPS masih merupakan pilihan terbaik bagi PH jika ada parti dari blok PN yang beralih arah.


PAS pula tetap dengan pendirian menolak DAP dan tidak mahu mereka ada di dalam pembentukan kerajaan baru. Ini pastinya dendam lama yang terbuku bermula dari era Barisan Alternatif lagi sehinggalah Pakatan Rakyat. Cenderung kepada PN adalah sesuatu yang jelas bagi PAS.


Apa yang akan terjadi jika kesemuanya gagal mendapatkan sokongan majoriti mudah? Pada saya, sekiranya kebuntuan politik ini berlanjutan, Yang di-Pertuan Agong mungkin diminta campur tangan untuk memberikan jalan atau memaksa mereka berdamai. Tidak mustahil kita dapat menyaksikan calon yang sebelum ini bukan dianggap sebagai calon Perdana Menteri akan muncul.


Di dalam suasana yang sangat mencabar ini, rakyat mahukan semua ahli politik bekerjasama. Jelas menunjukkan rakyat mahu ahli politik keluar daripada kepompong parti dan bekerjasama demi menyelesaikan masalah yang dihadapi. Bagi rakyat dalam keadaan sekarang, kenapa ahli politik tidak mahu duduk berbincang menubuhkan kerajaan perpaduan, kenapa masing-masing tidak mahu ketepikan kepentingan parti dan peribadi demi rakyat?


Saya sendiri tidak menolak kemungkinan pembentukan kerajaan campuran yang diwakili daripada semua parti politik. Walaupun penjajaran baru itu sukar disebabkan kepentingan fahaman parti-parti politik yang berbeza tetapi kerajaan campuran ini tidak dapat dielakkan. Masing-masing mementingkan fahaman politik berbanding mencari keseimbangan mencari jalan tengah politik, barang kali sekiranya seorang figura diangkat mampu meraih sokongan kedua dua blok mungkin kita mampu untuk melengkapkan percaturan politik yang dilakukan. Kemungkinan akan wujud blok-blok lain yang bakal menjadi 'kingmaker' dalam kemelut politik ketika ini kerana pada saya, ia bukan sekadar perlantikan PM, ia melangkaui kepentingan itu. Mahu tidak mahu terpaksa bergantung kepada beberapa parti politik termasuklah Bersatu.




--PN Online