Kerap banjir melampau, penduduk Ayer Keroh hantar memorandum
9 November 2021
AYER KEROH: Sekumpulan penduduk di kawasan Ayer Keroh nekad untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab kerana menurut mereka, tiada tindakan komprehensif diambil untuk menangani isu banjir.
Wakil Penduduk Taman Melawis, Razak Omar berkata, tindakan itu diambil selepas memorandum yang dihantar kepada beberapa pihak, termasuk Pejabat Ketua Menteri dan Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, seolah-olah tiada hasil.
Malah, katanya lagi, penduduk di lebih lima kawasan perumahan di situ, juga telah menaikkan bendera merah, sebagai tanda kekecewaan mereka terhadap cara Pihak Berkuasa Tempatan menangani isu banjir itu.
Sejak awal bulan ini mendapati, banjir yang melanda kawasan ini telah menjejaskan penduduk di Taman Bukit Beruang Utama, Taman Bukit Beruang Bestari, Taman Melawis, dan Kampung Sungai Putat.
Penduduk yang ditemui mendakwa, punca banjir yang satu ketika mencapai paras dada itu, adalah susulan perancangan bangunan baharu yang tidak mengambil kira keadaan geografi, serta sistem saliran yang tidak dapat menampung limpahan air berlebihan setiap kali musim hujan.
Sementara itu, wakil penduduk Bukit Beruang Seksyen 1, Mohd Nazir Md Tahir memberitahu, selama 19 tahun tinggal di kawasan itu, 2021 merupakan tahun paling teruk mereka dilanda banjir.
Mengimbas kembali dua peristiwa banjir yang terbaharu, iaitu pada 20 Oktober dan 1 November lepas, dia berkata, keadaan agak mencemaskan apabila ibu-ibu terpaksa meletakkan bayi mereka yang tidak sampai setahun dalam baldi, untuk meredah banjir.
Comments