• newsatmy

Kerjasama antara PKS penting untuk bantu tingkat ekonomi negara - Redzuan

20 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Adalah penting bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bekerjasama antara satu sama lain, kerana mereka adalah enjin pertumbuhan ekonomi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.


Beliau berkata kolaborasi dalam kalangan PKS sangat penting kerana ia merupakan antara penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang menjadikan peranan mereka bertambah penting.


Menurutnya PKS adalah jentera bagi mewujudkan pekerjaan, nilai serta inovasi, dan kerajaan memberi banyak perhatian kepada mereka.


"Penting bagi kerajaan untuk peka dan memberi lebih banyak perhatian jika perlu, selain memberi pandangan, dan melihat bagaimana kita dapat menambahbaik bersama," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapannya di Platinum Business Awards 2020 di sini semalam.


Terdahulu dalam ucapannya Mohd Redzuan berkata pandemik COVID-19 membawa cabaran besar kepada semua sektor, namun laluan berliku turut menanti di tahun-tahun akan datang ke arah pemulihan.


Beliau bagaimanapun memberi jaminan bahawa kerajaan akan bekerja keras untuk memainkan peranan pentingnya kearah pemulihan ekonomi.


Beliau turut menekankan kepentingan kepada orang ramai untuk menyiapkan diri beralih kearah digitalisasi.


Menurutnya pandemik COVID-19 telah menunjukkan bahawa para pengusaha berjaya mengharungi cabaran yang dibawa oleh pandemik itu apabila mereka dapat terus kekal berada dalam pasaran menerusi platform digital.


"Jika anda lihat.. kerajaan membelanjakan banyak wang untuk membawa ramai, terutama golongan B40, untuk terbabit dalam digitalisasi ini," tambahnya.


-- BERNAMA

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.