• newsatmy

Kerjasama Bersatu dengan PAS akan diperkukuhkan - Hamzah



Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin berkata, Bersatu akan memperkukuhkan kerjasama dengan PAS melalui Perikatan Nasional susulan penyingkiran Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar Perak. Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dipengerusikan oleh Presidennya, Muhyiddin Yassin hari ini.


"Dalam mesyuarat tersebut, MPT sekali lagi menzahirkan rasa kesal terhadap Usul Keyakinan Majoriti Ahli Dewan terhadap YAB Menteri Besar Perak yang diusulkan oleh Umno tetapi tidak disokong oleh Umno dan Pakatan Harapan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak baru-baru ini.


"Berikutan itu, MPT sebulat suara bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama antara Bersatu dan PAS melalui Perikatan Nasional dalam usaha mengekalkan kestabilan politik di peringkat nasional dan negeri.


"Semua keputusan yang bakal diambil Bersatu berkaitan penubuhan Kerajaan negeri Perak yang baru akan mengambil kira ketetapan bersama rakan-rakan Perikatan Nasional terutama PAS yang terlibat secara langsung," katanya.


Para penganalisis politik meramalkan, hubungan antara parti-parti di dalam PN dilihat rumit - terutama antara Umno dan Bersatu - dengan yang terbaru menyaksikan penyingkiran Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak.


Di perkembangan lain, Majlis Tertinggi Umno malam ini turut mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan situasi politik dan pembentukan kerajaan baru di Perak.


Ahli Majlis Tertinggi Umno, Zahidi Zainul Abidin ketika memberitahu petugas media, mengesahkan pimpinan tertinggi parti itu sebulat suara mencalonkan Adun Kota Tampan, Saarani Mohammad sebagai menteri besar Perak yang baru.