• newsatmy

Kerjasama DAP: Apa rasional Tajuddin ungkit keputusan PAU2020? - KB UMNO


7 April 2021 KUALA LUMPUR: Tindakan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang mengungkit keputusan 'No DAP, No Anwar, No Bersatu' dengan membayangkan kerjasama dengan parti itu menimbulkan pelbagai persoalan kepada ahli UMNO.

Ketua Bahagian UMNO Hulu Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan menjelaskan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) itu perlu mencari idea baharu untuk memperkuatkan parti selain mempersoalkan semula apa yang sudah diputuskan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020), baru-baru ini.


"Bukan menimbulkan persoalan, kenapa dia menyoal semula apa yang diputuskan pada PAU?


"Apa sebab hendak soal balik? Apa rasional dia hendak soal balik apa yang diputuskan pada PAU?


"Kalau taknak-taknaklah (kerjasama DAP), carilah idea baru, sudah putus masa PAU, cari idea baharu. Mengapa dipusing-pusing idea itu? Sudah kurang idea?" soalnya dalam satu kenyataan pada Rabu.


Tajuddin di dalam sebuah portal sebelum ini berkata tidak mustahil UMNO menjalin kerjasama dengan DAP pada masa depan sekiranya parti itu membawa politik kesederhanaan yang boleh membantu memperkukuhkan kestabilan negara.


Bagaimanapun, beliau membayangkan kerjasama sedemikian sukar dijalin pada masa ini kerana imej perkauman parti itu, yang sebilangan besarnya kaum Cina.

Dalam pada itu jelas Mat Nadzari, Tajuddin diminta tidak menimbulkan kekeliruan dan tanda tanya baharu kepada ahli selepas keputusan jelas mengenai isu berkenaan, baru-baru ini.


"Itu yang pertama, janganlah ada mewujudkan kekeliruan. Kedua kita kena faham sejarah DAP itu sendiri, dan bagaimana ia menjadi sentimen kepada orang Melayu dari dahulu.


"Itu kita kena faham sejarah dia, sekarang mungkin ada yang dikatakan oleh Tajuddin menghala kepada kesederhanaan tetapi untuk menunjukkan keikhlasan dan kesetiannya, DAP kena ubah Perlembagaan mereka.


"Baca Perlembagaan, ubah Perlembagaan dia untuk menunjukkan mereka boleh menerima Perlembagaan kita dengan baik," tegasnya.


Sebelum ini, Anggota Jawatankuasa Pusat DAP, Teresa Kok meminta UMNO mencermin diri sendiri terlebih dahulu sebelum meminta DAP untuk bersifat lebih sederhana.


Teresa berkata setakat ini, tiada sebarang komunikasi antara kedua-dua parti berkenaan.


Bagaimanapun, sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengakui parti itu tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan UMNO sekiranya ia melibatkan kepentingan rakyat. -Astro Awani