• newsatmy

Kerjasama Pepsi, 7-Eleven

12 April 2021

JENAMA minuman terkemuka, Pepsi mengumumkan kolaboratif bersama rangkaian kedai serbaneka, 7-Eleven dan melancarkan Kedai Konsep 7-Eleven x Pepsi yang pertama di Malaysia di DA Square, Damansara Avenue.


Kedai Konsep 7-Eleven x Pepsi itu bukan sahaja menjual dan mempamerkan jenama minuman tersebut malah turut memberikan pengalaman yang unik kepada pelanggan.


Ketua Pegawai Eksekutif Etika Holdings Sdn Bhd-Malaysia, Singapura dan Brunei, Khalid Alvi berkata, idea mewujudkan kedai konsep tersebut kerana semangat jenama Pepsi yang menerapkan sikap berani bereksperimentasi dan mencipta pengalaman baharu untuk dinikmati oleh pelanggan secara menyeluruh.


Tambahnya lagi, dengan pelancaran Kedai Konsep 7-Eleven x Pepsi yang unik itu, pelanggan akan menikmati beberapa tawaran baharu malah dapat membeli merchandise dan koleksi Pepsi yang menarik.



Penampilan baharu dan menarik dari Kedai Konsep 7-Eleven x Pepsi yang pertama di Malaysia.


“Kedai ini turut menyediakan beberapa aktiviti interaktif seperti lantai projeksi, cermin infiniti dan muzik Blackpink kegemaran mereka sebagai muzik latar. Malahan, permainan pong interaktif dan kawasan foto neon bagi menambah content di dalam Instagram mereka.


“Pelanggan tidak hanya datang ke kedai untuk membeli barang keperluan tetapi mereka juga bakal menikmati pengalaman sendiri di dalam kedai yang interaktif tetapi tidak ada ketika membeli-belah secara atas talian (online),” katanya ketika ditemui pada pelancaran Kedai Konsep 7-Eleven x Pepsi di Damansara, pada Khamis.


Khalid berkata, Kedai Konsep 7-Eleven x Pepsi juga akan mempunyai kafe untuk membolehkan pelanggan bersantai dengan produk Pepsi kegemaran mereka dan pilihan makanan ringan siap sedia yang luas di 7-Eleven.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif 7-Eleven Malaysia, Wong Wai Keong berkata, pihaknya berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Pepsi untuk membuka Kedai Konsep 7-Eleven x Pepsi yang pertama di Malaysia.


“Melalui kerjasama ini, kami akan terus mengukuhkan kedudukan 7-Eleven sebagai jenama pusat persinggahan kemudahan sehenti terkemuka. Kami juga akan mencari kaedah inovatif dan menyeronokkan untuk meningkatkan pengalaman membeli-belah kepada pelanggan.


“Kedai Konsep 7-Eleven x Pepsi juga mempamerkan rangkaian makanan dan minuman segar yang lebih luas dan baik,” katanya.


Tambah Wai Keong, pelbagai tawaran eksklusif dan peraduan menarik menanti pengunjung bersempena pelancaran Kedai Konsep 7-Eleven x Pepsi.


“Pepsi telah mengumumkan peraduan media sosial yang menarik bagi menggalakkan orang ramai untuk mengunjungi kedai ini,” katanya. -Sinar Online