top of page
  • Writer's pictureNizam

Kertas Cadangan Pindaan Akta Untuk Transformasi Parlimen Diteliti AG

29 Oktober 2021

KUALA LUMPUR: Peguam Negara sedang meneliti cadangan pindaan dan pemerkasaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952, serta mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada 1992.


Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim berkata kertas cadangan berkenaan dijangka dikembalikan kepada Jawatankuasa Parlimen, yang dipengerusi kedua-dua Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat pada penghujung November ini, dalam usaha merealisasikan transformasi Parlimen.


“Jika mereka tidak dapat mengisi itu (tempoh masa dan hasil penelitian), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, perlu memberi kepada saya sebabnya.


“Kenapa tidak, sebab kedua-dua ini adalah ‘regular’, bukan sesuatu yang diluar jangka, yang satu (Akta Perkhidmatan Parlimen 1963) nak hidup balik, yang satu lagi (Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952) hanya dua pindaan sahaja,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.


Beliau memberi contoh, satu pindaan untuk Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 adalah meningkatkan denda daripada RM1,000 kepada RM20,000 bagi mereka yang memperkecil atau mempersenda Parlimen serta ahlinya, manakala satu lagi pindaan melibatkan Kod Etika Ahli Parlimen.


Pada masa sama, Rais menjangkakan perkara itu dapat diselesaikan sebelum dibawa dalam bentuk rang undang-undang baharu pada mesyuarat kedua Dewan Negara, Disember ini.


Pada 14 Okt, Rais dilapor menyatakan mahu Dewan Negara memperkukuhkan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 dan menghidupkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963.

bottom of page