top of page
  • admin

Kes dera terpencil, tidak jejas kerjasama Malaysia-Kemboja - Saravanan


TAPAH,25 Sept: Kejadian rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket penipuan kerja dan didera di Kemboja tidak akan menjejaskan kerjasama kedua-dua negara untuk membawa masuk pembantu rumah dari negara itu.


Ini kerana kes yang berlaku adalah terpencil dan di luar jangkaan.


Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, ia juga akan diselesaikan secara berhemah.

"Bukan sahaja di negara Kemboja, di negara kita pun pernah berlaku, macam-macam kes, pekerja yang datang daripada negara-negara lain pernah dibuli di negara kita. Maka ini adalah kes-kes khas, kita akan cari penyelesaian secara berhemah," katanya.


Beliau ditemui selepas majlis pelancaran jenteru PRU15 Barisan Nasional Parlimen Tapah di Arena Merdeka Tapah, pada Ahad.


Sebelum ini, media melaporkan beberapa kejadian warga Malaysia yang ditipu dan didera, sepanjang tempoh bekerja di Kemboja.


Ekoran daripada itu, usaha dibuat untuk membawa mereka pulang mereka, melalui Kementerian Luar.


Misalnya pada 9 September lalu, seramai 24 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Phnom Penh, Kemboja diselamatkan dan kembali ke tanah air.


Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata, 29 lagi rakyat Malaysia masih berada di depoh imigresen di Kemboja kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, ketika memasuki negara berkenaan dan mereka selamat.


Ketika lawatan kerjanya ke Phnom Penh, Saifuddin berkata, beliau melawat tujuh rakyat Malaysia yang berada di depoh imigresen di ibu negara Kemboja itu, manakala 22 orang lagi dilaporkan berada di wilayah Sihanoukville.

bottom of page