• Arissa Azman

Kes kematian Zulfarhan: Enam penuntut UPNM dipenjara 18 tahun

2 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR: Enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terlepas hukuman gantung apabila dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, selepas didapati bersalah menyebabkan kecederaan tanpa niat membunuh terhadap Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain.


Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.


Semua tertuduh kecuali Mohamad Shobirin juga bersama 12 lagi turut dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa mencuri komputer riba.


Dua belas bekas penuntut berkenaan adalah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri dan Muhammad Sufi Mohd Mustapha.


Selain itu, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa mencuri komputer riba.


Hukuman penjara Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif dan Abdoul Hakeem diperintahkan berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 1 Jun 2017. Mahkamah juga membenarkan penangguhan hukuman penjara terhadap kelima-lima tertuduh sementara menunggu rayuan.


Terdahulu, kelima-lima mereka bersama Mohamad Shobirin dihadapkan atas tuduhan membunuh serta bersubahat membunuh Zulfarhan dan didakwa mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.


Bagaimanapun, mahkamah mendapati mereka bersalah atas tuduhan Seksyen 304(a) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.


Pada 30 September lalu, mahkamah selesai mendengar kesemua hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan di akhir kes pembelaan.


Sepanjang perbicaraan bermula 29 Januari 2018, seramai 31 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, termasuk rebuttal (saksi untuk menyanggah), antaranya bekas Pegawai Perubatan UPNM, Dr Harniza Kosnan dan Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang, Dr Salmah Arshad.


Pada prosiding bela diri yang bermula 2 Oktober 2019, pembelaan mengemukakan 20 saksi, iaitu Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Rohayu Shahar Adnan bersama penuntut UPNM, Muhammad Alif Farhan Aerosni serta semua 18 tertuduh.


Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan penuntut UPNM terbabit membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.


Empat tertuduh, iaitu Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif dan Mohamad Shobirin berdepan tuduhan membunuh Zulfarhan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM, antara jam 4.45 dan 5.45 pagi pada 22 Mei 2017 dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Abdoul Hakeem pula berdepan pertuduhan bersubahat mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.


Mereka bersama dengan 12 lagi turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa mencuri komputer riba.

Pendakwaan bagi tuduhan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.


Kesemua kesalahan itu dilakukan di dalam bilik 03-05, Blok Penginapan Asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara jam 2.30 dan 5.30 pagi 21 Mei 2017.


Pendakwaan diwakili Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh dan Timbalan Pendakwa Raya, N Joy Jothi.


Pasukan peguam terdiri daripada Amer Hamzah Arshad, Datuk Seri M Ramachelam, Datuk Ranjit Singh Dhillon, Datuk Hazman Ahmad, Zamri Idrus, Fadly Hashim dan Datuk Hazizah Kassim.