top of page
  • zaman

Kesedaran keselamatan, kesihatan pekerjaan meningkat


KUALA LUMPUR,30 Dis: Keselamatan dan kesihatan pekerjaan adalah komponen penting dalam persekitaran kerja yang baik di samping faktor fizikal dan mental yang boleh mempengaruhi sebahagian besar keadaan pekerja.


Risiko kemalangan pekerjaan termasuk insiden maut serta jangkitan penyakit di tempat kerja bukan sahaja boleh menjejaskan produktiviti syarikat tetapi turut berpotensi mempengaruhi aspek sosial, ekonomi dan pendapatan negara jika tidak dibendung sebaiknya.


Pelbagai faktor penyumbang

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Mohd Anuar Embi, kadar kecederaan pekerjaan dan kadar kecederaan maut pekerjaan negara mencatatkan penurunan, masing-masing sebanyak 40.4 peratus dan 51.7 peratus, bagi tempoh 2018 hingga 2021.


Sebanyak 35,460 kes kecederaan pekerjaan direkodkan pada 2018 dan 21,534 kes pada 2021, sementara bagi kecederaan maut pula sebanyak 611 kes dilaporkan pada 2018 dan 301 kejadian pada 2021.

“Antara faktor penyumbang kepada penurunan tersebut ialah penguatkuasaan dan promosi berkesan termasuk menggunakan pendekatan norma baru serta kesan tindakan punitif jabatan terhadap majikan yang gagal mematuhi kehendak perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).

“Selain aktiviti ekonomi pelbagai sektor pekerjaan yang baru berjalan semula di bawah Pelan Pemulihan Negara dan fasa peralihan ke endemik, majikan dan pekerja juga lebih prihatin dalam melaksanakan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk dalam aspek KKP.

“Di samping keberhasilan jangka panjang pelaksanaan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (OSHMP), peranan aktif penyelia latihan, pertubuhan bukan kerajaan dan pengamal KKP bagi membantu majikan meningkatkan tahap KKP di tempat kerja turut menyumbang dalam perkara ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.


Berdasarkan analisis perbandingan oleh JKKP, kadar kecederaan dan kecederaan maut pekerjaan di Malaysia pada 2021 adalah hampir setara dengan negara seperti Singapura, Jepun dan United Kingdom.


Kadar kecederaan pekerjaan bagi 1,000 pekerja Malaysia ialah 1.43, Singapura (3.87), Jepun (2.77) dan United Kingdom (2.38), manakala bagi kadar kecederaan maut pekerjaan per 100,000 pekerja, Malaysia mencatatkan 2.00, Singapura (1.10), Jepun (1.60) dan United Kingdom (0.44).


Statistik jenis kecederaan pekerjaan yang merangkumi orang jatuh; terkena objek yang jatuh; terpijak, dilanggar dan terkena objek; dihimpit objek; pergerakan berlebihan; terdedah kepada suhu melampau; terdedah kepada arus elektrik; terdedah kepada sebatian berbahaya dan lain-lain merekodkan 21,534 kes pada 2021 berbanding 32,674 pada tahun sebelumnya.


Bagi statistik kecederaan maut pekerjaan yang disebabkan jenis kecederaan sama, sebanyak 301 kes dilaporkan pada 2021 berbanding 312 insiden pada 2020.


Perlindungan sama rata

Menyentuh mengenai Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 atau Akta 514 yang berkuat kuasa sejak 25 Feb 1994 bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua orang di tempat kerja, Mohd Anuar berkata ia berdasarkan konsep peraturan kendiri dengan tanggungjawab utama ialah memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja terletak pada orang yang mewujudkan risiko (majikan) dan bekerja dengan risiko (pekerja).

“Antara peruntukan utama akta ini ialah kewajipan am majikan dalam memastikan aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja bagi semua pekerjanya (Seksyen 15), kewajipan majikan untuk membentuk dasar keselamatan dan kesihatan (Seksyen 16), kewajipan majikan untuk menubuhkan jawatankuasa keselamatan dan kesihatan di tempat kerja (Seksyen 30) dan kewajipan am pekerja yang sedang bekerja (Seksyen 24).

“Peruntukan akta ini membolehkan satu sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan diwujudkan di tempat kerja. Pelaksanaan sistem ini dapat membantu meningkatkan tahap KKP di tempat kerja bagi mewujudkan tempat dan persekitaran kerja yang selamat, sihat, kondusif dan produktif,” katanya.


Kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mempertingkat tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara, antaranya menggubal Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara, melaksanakan OSHMP serta menambah baik perundangan dan penguatkuasaan perundangan KKP.

“Kerajaan membuat pindaan terhadap AKKP 1994, antaranya menaikkan denda maksimum iaitu daripada RM50,000 kepada RM500,000 dengan mengekalkan hukuman ‘atau penjara dua tahun atau kedua-duanya’.

“Pindaan terhadap kadar penalti ini dibuat dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan, majikan, pekerja serta pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Hal ini perlu bagi memberi pengajaran yang setimpal kepada pihak yang mengabaikan atau tidak mengendahkan langsung pengurusan KKP di tempat kerja.

“Harus diingat bahawa pelanggaran peruntukan AKKP ini adalah pelanggaran undang-undang jenayah. Selain itu, individu yang ditimpa kemalangan atau kecederaan akibat aktiviti pekerjaan boleh mengambil tindakan saman sivil terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebabkan berlakunya kemalangan atau kecederaan itu,” jelasnya.


Mohd Anuar dalam masa sama berkata perundangan KKP di Malaysia, memberi perlindungan sama rata kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan.


Dalam konteks ini, majikan bertanggungjawab memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua pekerja yang sedang bekerja, pekerja menjalankan tugas selaras dengan peruntukan Seksyen 24 dalam Akta 514, manakala JKKP pula perlu memastikan majikan dan pekerja menjalankan tanggungjawab mereka selaras dengan kehendak perundangan menerusi aktiviti penguatkuasaan, penyiasatan dan tindakan punitif.


Kerjasama semua pihak

Mengulas lanjut mengenai pengendalian kes kemalangan, kematian mahupun penyakit pekerjaan, beliau berkata ia dinyatakan dalam Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pemberitahuan Mengenai Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan Pekerjaan dan Penyakit Pekerjaan, 2004 (NADOPOD).

“JKKP akan menjalankan siasatan terhadap kes kemalangan, penyakit pekerjaan dan keracunan pekerjaan yang dilaporkan. Berdasarkan hasil siasstan, JKKP akan mengambil tindakan termasuk mengeluarkan surat arahan, notis pembaikan, notis larangan, mengeluarkan kompaun atau mengambil tindakan pendakwaan di mahkamah.

“Pekerja yang mendapat bencana sewaktu bekerja dan mencarum kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) layak mendapat faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan seperti faedah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, orang tanggungan, pengurusan mayat dan pendidikan, elaun layanan sentiasa dan kemudahan pemulihan jasmani/vokasional,” katanya.


Ditanya mengenai gesaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada April lepas agar majikan dan kesatuan memasukkan klausa kesihatan dan keselamatan dalam Perjanjian Kolektif, beliau berkata JKKP amat menghargai usaha semua pihak untuk terus mempertingkat dan memartabat aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini.

“Kewujudan klausa KKP dalam Perjanjian Kolektif dapat memastikan aspek KKP diberi perhatian serius oleh majikan dan pekerja setara dengan aspek lain yang terkandung dalam perjanjian berkenaan seperti gaji, elaun dan kemudahan kebajikan pekerja,” katanya.


Beliau menambah, bagi meningkatkan tahap pematuhan dan kesedaran aspek KKP di Malaysia, Kementerian Sumber Manusia melalui JKKP telah melancarkan Pelan Induk KKP Negara 2021-2025 (OSHMP25) pada 13 Okt 2021.

“Usaha ini merupakan langkah berterusan bagi memupuk budaya kerja selamat dan sihat di negara ini. Perancangan strategik KKP negara bagi tempoh 2021-2025 dilaksanakan menerusi OSHMP25.

“Bagi tujuan pelaksanaannya, kerajaan telah memberikan peruntukan kewangan berjumlah RM8.5 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12). Adalah menjadi harapan jabatan agar semua pemegang taruh termasuk majikan, pekerja dan pengamal KKP meneruskan inisiatif dan kerjasama erat dalam usaha mempertingkat dan memperkasa tahap KKP di negara ini, selaras dengan tema OSHMP25 : KKP Inklusif – Kebersamaan dan Komitmen,” katanya.


Stres ancaman popular pekerjaan

Sementara itu, mengulas mengenai hazard atau punca keadaan yang berisiko mengakibatkan kemudaratan sekali gus mendatangkan kecederaan serta penyakit pekerjaan, pakar kesihatan pekerjaan Dr Shawaludin Husin berkata ia terdiri daripada aspek fizikal, kimia, biologi, ergonomik dan psikososial.


Aspek fizikal sebagai contoh, melibatkan faktor pencahayaan, suhu, bunyi bising; kimia (logam berat, racun, pelarut); biologi (virus termasuk Covid-19, haiwan membawa penyakit); ergonomik (peralatan, kedudukan sewaktu bekerja, kerja berulang-ulang) dan psikososial (stres, murung, bekerja lebih masa).

“Yang lazim berlaku ialah gangguan bunyi bising di tempat kerja yang melebihi tahap kebisingan yang dibenarkan kerana majikan masih menggunakan teknologi lama atau mesin-mesin lama dengan bunyi yang kuat sehingga mendatangkan risiko masalah pendengaran dan malah pekak kepada pekerja.

“Isu ergonomik seperti sakit belakang atau slipped-disc juga banyak berlaku disebabkan faktor kedudukan pekerja ketika bekerja tidak sesuai atau pekerja perlu melakukan kerja yang sama secara berulang-ulang, mengangkat atau menolak benda berat sedangkan risiko boleh dikurangkan dengan penggunaan mesin.

“Di samping sesak nafas dalam jangka pendek, jangkitan pada paru-paru, penyakit kulit, kerosakan saraf dan kanser pula boleh berlaku disebabkan terdedah kepada habuk dan bahan kimia dalam tempoh yang panjang,” katanya.


Dr Shawaludin berkata stres merupakan ancaman pekerjaan yang semakin mendapat perhatian kerana ia boleh membawa kepada kecelaruan keresahan, kecelaruan kemurungan dan gangguan tekanan pascatrauma.


Katanya walaupun stres boleh dikaitkan dengan faktor luaran, majikan berperanan untuk mengenal pasti punca pekerja mengalami stres yang mungkin dikaitkan dengan lambakan kerja sehingga burnout, pekerja seringkali perlu bekerja lebih masa, dan majikan mengganggu selepas waktu bekerja dan pada hari cuti.

“Dalam menangani hal ini (stres), ia lebih kepada isu keseimbangan antara kerja dan kehidupan serta nilai kemanusiaan. Perlu ada pendekatan yang tegas terhadap majikan agar ia tidak menjadi bebanan sehingga mengundang stres dalam kalangan pekerja,” katanya.


Berpendapat undang-undang dan akta sedia ada sudah mencukupi, beliau berkata hanya penguatkuasaan perlu dijalankan dengan lebih tegas bagi memberi pengajaran kepada majikan yang sambil lewa dalam aspek KKP.

“Saya ambil contoh isu Perintah Gaji Minimum yang baru-baru ini pelaksanaan kuat kuasa bagi majikan yang menggajikan kurang lima pekerja ditangguhkan dari 1 Jan 2023 kepada 1 Julai 2023.

“Sekiranya isu gaji minimum pekerja pun masih ada unsur ‘tarik tali’ dan kompromi di antara kerajaan dan majikan, bagaimana pula soal keselamatan dan kesihatan pekerja? Ini yang kita bimbang.

“Soal bebanan majikan untuk tanggung kos operasi, syarikat baru pulih pascapandemik dan sebagainya tidak wajar dijadikan alasan bagi mengetepikan peranan dan hak pekerja untuk dibayar dengan gaji yang sewajarnya,” katanya.


Tambah beliau, aspek ekonomi serta KKP perlu berjalan seiring agar dapat mendisiplinkan pihak majikan dan pekerja, seterusnya meningkatkan produktiviti, mewujudkan keharmonian di tempat kerja, menggalakkan pelabur datang ke Malaysia dan menjamin majikan yang berkualiti. – BERNAMA

bottom of page