top of page
  • zaman

Kesedaran masyarakat jaga kebersihan awam, khususnya sungai masih rendah


JOHOR BAHRU, 21 Feb- Tahap kesedaran yang tinggi terhadap kebersihan alam sekitar penting bagi membolehkan hasrat kerajaan negeri, menjadikan Johor sebagai sebuah negeri bersih, tercapai. Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K. Raven Kumar bagaimanapun berkata tahap kesedaran rakyat Johor terhadap kebersihan awam, khususnya penjagaan sungai masih pada tahap rendah. Perkara itu dapat dilihat apabila masih banyak sampah domestik dibuang ke dalam sungai di negeri itu. Kerajaan negeri katanya komited menjadikan persekitaran Johor lebih baik menerusi Agenda Johor Bersih yang bermula sejak Julai tahun lalu. Justeru, masyarakat perlu mengubah sikap dan menjadi lebih cakna terhadap kebersihan berbanding hanya bergantung dengan usaha kerajaan. "Orang ramai, mereka pun perlu memainkan peranan yang penting sebab kalau kita kutip sampah tetapi tidak berkurangan, itu tidak bagus juga. "Kesedaran orang ramai paling penting untuk mengurangkan isu sampah ini," katanya.


Beliau menyatakan demikian selepas melancarkan Hari Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), di sini hari ini. Dalam pada itu, kerajaan Johor juga menyokong usaha PTP menjalankan rangka kerja kelestarian alam yang menjadi penanda aras bagi pengurusan pelabuhan dalam negara. Menerusi rangka kerja tersebut, PTP akan menerapkan elemen kelestarian dalam setiap aspek urusan harian, termasuk rantaian pembekal, penggunaan tenaga, pengurusan sisa dan hak kemanusiaan. PTP juga bekerjasama dengan SWM Environment menubuhkan pusat kitar semula komuniti, selain komited menanam 160,000 pokok bakau di Tanjung Piai, Pontian, dalam tempoh lima tahun.

bottom of page