• Arissa Azman

Ketua Penerangan BERSATU Johor tolak Kluster Mahkamah

19 September 2021

BERSATU menolak pencalonan Ahmad Maslan sebagai timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat kerana mempertahankan pendirian parti tidak mendukung pemimpin yang integritinya diragui, kata sumber parti.


Ahli Parlimen Pontian itu yang juga setiausaha agung Umno, dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan berhubung wang RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak, dipercayai hasil aktiviti menyalahi undang-undang.


Menurut YB Tuan Haji Mohd. Solihan bin Badri, selaku Ketua Penerangan BERSATU Negeri Johor dan juga Timbalan Ketua Penerangan Perikatan Nasional Negeri Johor, beliau bersama-sama ahli BERSATU yang lain menolak pencalonan Ahmad Maslan sebagai timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.


"Dalam konteks sebagai calon Timbalan Speaker, saya bersependapat dengan BERSATU Pusat bahawa kita tidak bersetuju untuk mengambil mereka yang masih terlibat dalam perbicaraan kes-kes mahkamah menjadi calon kepada Menteri, Timbalan Menteri ataupun Timbalan Speaker,


"BERSATU Johor, kita bersama dengan Pihak Pusat dalam perkara ini,


"Sejajar dengan kenyataan Presiden BERSATU, Tan Sri Mahiaddin Yassin, BERSATU mesti mencari pemimpin yang berintegriti, amanah dan bebas rasuah" ujar beliau ketika ditemui.


Pendirian Bersatu adalah Umno kena memilih semula seorang calon yang tidak berdepan kes pendakwaan di mahkamah dan terbukti integriti.


Semua ahli parlimen Bersatu, serta empat ahli parlimen bebas yang berpihak kepada parti itu, kata laporan itu telah bersetuju untuk berkecuali semasa undian berkenaan.


Ini akan menyebabkan Ismail Sabri Yaakob memiliki hanya 79 undi sokongan daripada 114 anggota parlimen yang bersamanya.




--PN Online