Arissa Azman
Khairy: KKM jangka gelombang Omicron akan reda dalam tempoh sebulan atau dua
8 Februari 2022

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menjangkakan gelombang Omicron akan reda dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang, sekali gus membolehkan Hari Raya Aidilfitri disambut pada awal Mei tanpa sekatan pergerakan.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, semuanya bergantung kepada pematuhan orang ramai terhadap langkah kawalan termasuk dengan mengambil dos penggalak dan mendapatkan suntikan vaksin kepada kanak-kanak.
"Semuanya mengenai tingkah laku. Saya tahu bahawa terdapat banyak kebimbangan mengenai sambutan Raya, tetapi jika kita memainkan peranan kita, kita menjangka dapat menstabilkan wabak itu dalam satu atau dua bulan lagi, jika Omicron reda, Selamat Hari Raya Aidilfitri," katanya pada sidang media perkembangan Covid-19, di sini hari ini.
Pada 23 Jan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan kerajaan tidak akan ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan dan sekatan perjalanan sepanjang Aidilfitri tahun ini.
Khairy berkata lonjakan kes Covid-19 akibat varian Omicron bukan sahaja dialami Malaysia tetapi juga negara lain.
Beliau berkata Singapura melaporkan 13,208 kes baharu Covid-19 pada 4 Feb, meningkat tiga kali ganda daripada jumlah yang dilaporkan sehari sebelumnya.
Pada 5 Feb, Korea Selatan melaporkan kes harian sebanyak 38,670 kes, Indonesia (33,729 kes), Thailand (10,879 kes), Filipina (7,469 kes), Australia (22,985 kes) dan Jepun dengan 102,275 kes.
“Gelombang Omicron bukan sahaja di Malaysia, ia bukan konspirasi KJ untuk tidak membenarkan Hari Raya disambut lagi,” katanya.
Sementara itu, Khairy berkata negara masih berada di landasan yang betul dalam menguruskan jangkitan Covid-19 dan gelombang Omicron.
Beliau berkata ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh kadar vaksinasi yang tinggi dalam kalangan penduduk dewasa di negara ini.