• Arissa

Khairy setia dengan UMNO, akui ada masalah kepercayaan terhadap Zahid Hamidi

9 Ogos 2021

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menegaskan beliau setia dengan UMNO walaupun menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Beliau juga berkata, tiada sebab untuknya meninggalkan UMNO walaupun mengakui mempunyai masalah kepercayaan terhadap presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.


"Ketika ini saya masih lagi dalam kerajaan (PN), sebab saya ada masalah kepercayaan terhadap Presiden UMNO.


“Saya masih dengan UMNO setia pada UMNO, biarlah saya buat kerja vaksinasi kerana ini soal nyawa rakyat Malaysia.


"Selagi tidak ada undian (di Dewan Rakyat), biarlah saya buat kerja juga bagi pihak UMNO kerana saya menteri UMNO.


“Nanti selepas kita sudah selesai undi boleh kita buat keputusan, what’s next," katanya yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).


Pada 6 Ogos, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan seramai 31 Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyatakan pendirian untuk terus menyokong Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.


Ahli Parlimen terbabit termasuk Khairy, bersetuju agar usul percaya dibentang dan dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat, September ini.


Kenyataan Ismail yang juga Naib Presiden UMNO itu dibuat susulan pengumuman Ahmad Zahid pada 3 Ogos lalu, bahawa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, dan tidak akan mempertahankan Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.


Mengulas lanjut mengenai masalah kepercayaan terhadap Ahmad Zahid, Khairy berkata, ia berpunca daripada beberapa tindakan dilakukan oleh Presiden UMNO itu.


Menurut Khairy, Ahmad Zahid telah mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan semua Ahli Parlimen UMNO menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri berikutnya.


"Sedangkan saya tidak pernah dirujuk oleh presiden, tidak pernah ditanya oleh presiden dan jauh sekali saya beri kebenaran kepada beliau untuk guna nama saya, itu yang pertama.


“Kedua, apabila timbul rakaman perbualan presiden dengan ketua pembangkang, perkara itu dinafikan, kata nak buat laporan polis tetapi selepas itu mengaku pula yang rakaman itu tulen.


“Bagaimana saya hendak percaya presiden macam ini yang mengatakan bahawa keputusan baharu ini dicapai secara sebulat suara dalam Majlis Tertinggi (MKT), sedangkan ada Ahli Parlimen yang terdiri daripada ahli MKT buat keputusan berbeza dengan keputusan itu,” kata Khairy.


Terdahulu, Khairy ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Studio Iskandar Malaysia di sini, hari ini.



--Awani