- newsatmy
Khloe Kardashian batal komitmen kerja, positif COVID-19 kali kedua
1 NOVEMBER 2021

Bintang realiti, Khloe Kardashian disahkan positif COVID-19 buat kali kedua dan terpaksa membatalkan komitmen kerja sepanjang tempoh kuarantin untuk pulih daripada virus berkenaan.
Adik kepada selebriti, Kim Kardashian itu turut memberitahu anak perempuannya, True Thompson yang berusia tiga tahun turut positif COVID-19.
“Hello semua… saya ingin beritahu saya dan True disahkan positif COVID-19 setelah menjalani ujian saringan virus tersebut. Justeru itu, saya terpaksa mengambil pendekatan membatalkan semua komitmen kerja dalam tempoh ini.
“Maaf kerana saya tidak dapat meneruskan komitmen itu biarpun ada yang sudah lama dirancang dan sebagainya. Mujur kerana saya sudah mendapat vaksin dan berharap semuanya akan baik-baik saja.
“Kami akan berada di sini untuk kuarantin dan ikuti segala peraturan,” tulisnya di akaun Twitter.
Dalam pada itu, Khloe juga sempat berpesan kepada orang ramai supaya sentiasa menjaga keselamatan diri.
Sebelum ini, Khloe yang dijangkiti COVID-19 buat pertama kali berkongsi pengalamannya bertarung dengan virus berkenaan menerusi rancangan realiti Keeping Up With The Kardashians sekitar Mac lalu.
Menerusi perkongsian itu, Khloe berkata yang dia mengalami simptom seperti muntah-muntah, badan menggigil dan sakit kepala.
Bagaimanapun, selepas pulih daripada jangkitan COVID-19, Khloe menghadiri majlis hari jadi tertutup Kim yang diadakan di sebuah pulau. Hal tersebut menimbulkan respons negatif dalam kalangan peminat.