- newsatmy
Kilang ayam di Masjid Tanah diarahkan tutup, 175 pekerja positif
23 Mei 2021

MASJID TANAH – Kerajaan negeri Melaka bertindak menutup sebuah kilang memproses ayam terbesar di daerah ini selepas seramai 175 pekerja syarikat itu, kebanyakannya warga asing disahkan positif Covid-19 hari ini.
EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, arahan itu dikeluarian selepas kesemua pekerja itu menjalani ujian calitan.
Beliau berkata, kilang itu yang terletak dalam Kawasan Perindustrian Masjid Tanah di sini, diarah menghentikan operasi mulai semalam hingga 4 Jun ini.
“Penelitian sedang dibuat mengenai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang bakal dijadikan tempat mereka dikuarantin.
“Kerajaan negeri juga berbincang dengan pengurusan syarikat itu kemungkinan memindahkan semua pekerja terbabit ke rumah pangsa milik Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) berhampiran kawasan perindustrian itu.
“Ini kerana asrama pekerja asing sedia ada di rumah kedai berhampiran kilang tidak sesuai dijadikan penginapan pekerja yang terlalu ramai,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, setakat ini jangkitan dalam kalangan pekerja terbabit belum diberikan istilah kluster tertentu oleh Jabatan Kesihatan.
Rahmad berkata, ujian calitan masih diteruskan terhadap baki kira-kira 600 pekerja hari ini bagi mengenal pasti pekerja yang dijangkiti pandemik berbahaya itu.
Semalam Melaka merekodkan dua kluster baharu, membabitkan tempat kerja di sebuah kilang dan dalam kalangan keluarga.
Mengikut kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, kluster tempat kerja membabitkan Kluster Industri Batu Berendam di Melaka Tengah dan Kluster Taman Kesang Indah di Jasin.