top of page
  • newsatmy

Kimma tak desak UMNO beri kerusi

30 April 2021

IPOH - Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) tidak akan mendesak UMNO untuk memberikan kerusi kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Presidennya, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berkata, walaupun terdapat perbincangan mengenai perkara itu, namun Kimma hanya menyerahkan keputusan berkaitan kerusi itu kepada pimpinan UMNO.


Menurut beliau, pengagihan kerusi kepada Kimma bukanlah satu keutamaan sebaliknya mereka mahu terus membantu UMNO menguatkan parti itu.


"Memang mereka akan berikan beberapa kerusi tapi ini belum muktamad. Kalau ada, kita akan bertanding tapi bukan kita gila kuasa nakkan kerusi-kerusi ini tetapi yang penting kita nak pastikan kemenangan.


"Kalau tempat itu kita tak boleh menang memang kita tidak akan bertanding bukan kira kita nak rebut kerusi tetapi kita bagi peluang kepada orang lain yang boleh menang di kawasan itu," katanya kepada pemberita Majlis Ihya Ramadan Ehsan 2021 dengan Kerjasama Kimma Perak di Dewan Persatuan India Kinta, di sini pada pada Khamis.


Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ehsan, Datuk Abdul Hamid PV Abdu.


Syed Ibrahim berkata, mengenai calon pula, Kimma mempunyai ramai calon berkaliber namun keutamaan akan diberikan kepada anak tempatan yang mampu berkhidmat kepada masyarakat.


Menurutnya, sebarang calon yang ingin dikemukakan bergantung kepada kawasan dan keupayaan untuk mereka menang kerana Kimma tidak mahu sekadar bertanding semata-mana.


"Sepanjang tubuh 45 tahun sehingga kini kita bukan satu parti yang mendesak mana-mana parti terutama UMNO walaupun Kimma ini parti gabungan UMNO pada tahun 2009, kita telah diiktiraf tetapi kita berada di belakang mereka membantu bukan gila nak dapat kerusi.


"Kita bantu secara ikhlas. Sebab dahulu waktu kita susah, UMNO datang untuk membantu kita dan sekarang mereka susah kita di belakang mereka, kita tak lari. Walaupun Barisan Nasional (BN) ada 14 parti, 10 dah lari tinggal 4 sahaja, tetapi kita kekal kerana kita tak lupa jasa mereka," katanya.


Sementara itu, mengenai Program Ihya Ramadan Ehsan, Abdul Hamid berkata, seramai 150 penerima di Perak terdiri daripada golongan miskin, ibu tunggal dan golongan memerlukan diberikan bantuan serta sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kumpulan Ehsan.


Menurutnya, program secara tahunan yang dilaksanakan itu menyaksikan peningkatan penerima sumbangan berbanding tahun lalu di seluruh negara.


"Kita dah buat program ini sejak 20 tahun lalu cuma tahun ini lebih ramai yang terjejas akibat pandemik Covid-19. Tahun lepas kita cuma bagi di antara 1,200 hingga 2,000 sahaja tetapi pada tahun ini kita beri sehingga 3,500 penerima.


"Kita dah selesai di Selangor dan hari ini di Perak. Selepas ini kita akan ke Pulau Pinang, Kedah dan Perlis untuk mengagihkan sumbangan ini," katanya.


-Sinar Harian

bottom of page