• newsatmy

Kisah diet dalam drama

22 April 2021

KUALA LUMPUR: Penerbit dan pengedar kandungan tempatan terbesar di Malaysia, Primeworks Studios (PWS) bersama peneraju perkhidmatan video Over The Top (OTT), Viu menyajikan drama bersiri komedi, Kampung Kolestrol yang boleh ditonton di kedua-dua platform, sejak kelmarin.


Kolaborasi ini memberi peluang kepada peminat untuk menonton drama ini secara eksklusif bagi semua episod.


Ketua Pegawai Kandungan, Rangkaian Televisyen Media Prima dan PWS, Nini Yusof berkata, pihaknya teruja dengan projek bersama Viu.


"Pasti penonton tidak sabar untuk menyaksikan gelagat dua artis terkenal iaitu Ziana Zain dan Mas Idayu bergandingan menjayakan drama Kampung Kolestrol.


"Viu adalah platform yang tepat bagi penonton kerana sentiasa menawarkan kandungan baharu. Ini membuka langkah kepada drama tempatan untuk ditayangkan di seluruh dunia," katanya.


Drama komedi 20 episod itu menggandingkan Ziana dan Mas Idayu yang pastinya membuatkan penonton tidak kering gusi.


Drama ini berkisar penduduk Kampung Kolestrol yang tidak mengambil kisah amalan diet seimbang sehingga kebanyakan daripada mereka mempunyai masalah kolesterol tinggi.


Ketua Kampung Wanita Pertama, Kak Bib lakonan Ziana dan madunya, Kak Gee sebagai Penolong Ketua Kampung (dibawa Mas Idayu), sentiasa membantu penduduk kampung menyelesaikan pelbagai masalah.


Ketika Ramadan, Kak Bib dan Kak Gee mempunyai misi menangani masalah kesihatan penduduk kampung. Lantas, mereka menganjurkan pertandingan menetapkan sesiapa yang mampu mengurangkan berat paling banyak dan mengekalkan gaya hidup sihat, bakal memenangi pertandingan terbabit.


Mula ditayangkan menerusi slot Diandra di TV9 pada jam 8.30 malam sejak kelmarin. Drama ini juga boleh ditonton secara percuma dan eksklusif di Viu selepas sejam ditayangkan di TV9.


-Berita Harian