top of page
  • newsatmy

"Kita beri kepada yang berhak."

9 Mac 2021

KUALA LUMPUR: "Kita beri kepada yang berhak." Itu penjelasan Rosmin Hashim yang mengetuai jawatankuasa dibentuk secara sukarela oleh Caretaker Management Committee (CMC) MRM iaitu PRISM Performers Verification & Claims Committee (PPVCC) bagi menyelesaikan isu agihan royalti tertunggak ahli Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) dan Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM).


"Bayaran pertama ini dipanggil Unlogged Performance Allocation (UPA). Ini adalah bayaran tetap yang sudah ditentukan badan pelesenan.


"Dalam situasi ini, badan terbabit RPM dan PRISM. Bagaimanapun, bayaran kepada PRISM diwakili Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI).


"Kriteria bayaran UPA adalah ahli perlu mempunyai rekod penggunaan lagu dalam tahun agihan, iaitu, untuk situasi ini, pada 2018.


"Walaupun ada lebih 1,600 ahli dalam senarai daftar PRISM, hanya 396 ahli yang sudah dikenal pasti mempunyai rakaman lagu pada 2018.


"Jadi, jumlah sebenar yang layak menerima bayaran UPA dalam kalangan bekas ahli PRISM adalah 396 orang," katanya kepada BH Online.


Rosmin mengulas kemusykilan diutarakan bekas ahli PRISM mengenai agihan pendahuluan royalti yang hanya memanfaatkan 200 ahli, sedang nasib kira-kira 1,400 ahli lain terabai.


Rosmin berkata, bukan semua ahli PRISM yang mempunyai rakaman lagu pada 2018.


"Jadi, selepas proses mengenalpasti dan menyemak dengan senarai penggunaan lagu, kita dapati hanya 396 ahli PRISM layak," katanya.


Namun, Rosmin mengaku, daripada senarai 396 ahli, 200 orang sudah menerima agihan bayaran pendahuluan royalti bersama kira-kira 1,100 ahli RPM.


Rosmin berkata, semakan mendapati, baki 196 ahli PRISM yang lain tidak mendapat agihan pendahuluan royalti disebabkan dokumen tidak lengkap.


"Salah satunya, mereka tiada mandat. Apabila tiada mandat, bayaran tidak dapat dibuat kepada pelaku.


"Tetapi kami, bagi pihak MDI mahu memudahkan cara dengan meletakkan syarat kepada mana-mana ahli yang tiada mandat, mengeluarkan akuan bersumpah bahawa mereka adalah ahli PRISM.


"Akuan bersumpah itu akan menjadi pengganti kepada mandat yang tiada dalam simpanan MDI.


"Jadi ahli PRISM yang belum menerima bayaran perlu mengemukakan akuan bersumpah untuk tujuan itu," katanya.


Rosmin berkata, ada juga antara ahli PRISM sudah meninggal dunia.


"Dalam hal ini, MDI supaya waris dilantik. Waris perlu menyerahkan surat pentadbiran untuk mendapatkan agihan royalti.


"Bagi ahli uzur, mereka perlu ada surat beri kuasa agar wakil mereka dapat menguruskan soal royalti," katanya.


Selain itu, Rosmin berkata, ada ahli PRISM berada di luar negara.


"Jadi, MDI memerlukan butiran akaun dalam negara untuk mereka membuat pembayaran.


"Semua syarat ini perlu dipenuhi agar agihan royalti dapat dibuat," katanya.


Selain itu, Rosmin berkata, ada ahli didapati gagal mengemukakan butiran lengkap seperti penyata bank.


"Semua perkara ini patut diperjelaskan kepada ahli PRISM. Ramai yang menganggap hanya kerana mereka ahli, mereka layak menerima imbuhan royalti.


"Itu bukan caranya... Setiap badan pelesenan mempunyai polisi sendiri dalam aspek agihan royalti kepada ahli layak," katanya.


Rosmin berkata, sebaik selesai agihan bayaran pendahuluan royalti, pusingan seterusnya membabitkan pelaku digelar 'featured performers' iaitu penyanyi dan ahli kumpulan.


"Bagi kategori 'non featured performers' iaitu pemuzik yang terbabit dalam sesebuah rakaman lagu, belum dapat dikenal pasti lagi.


"Sehubungan itu, kami meminta ahli PRISM menyerahkan borang dipanggil Confirmation of Recording Form (CRF) untuk mengenal pasti pemuzik yang terbabit dalam proses rakaman lagu.


"Apabila mendapat butiran itu barulah kita dapat agihkan bayaran bagi kategori 'non featured performers'," katanya.


Rosmin berkata, penting untuk ahli PRISM mengemukakan semua butiran yang diperlukan dalam tempoh tiga bulan dari surat pekeliling yang sudah diedarkan.


"Jika ada soalan berbangkit, ahli boleh menghubungi pegawai MDI untuk mendapatkan penjelasan," katanya.


-Berita Harian

bottom of page