• newsatmy

KKM diminta umum awal kebenaran rentas negeri Aidilfitri


10 April 2021 KOTA TINGGI: Kementerian Kesihatan (KKM) diminta membuat pengumuman lebih awal berhubung rentas negeri sempena perayaan Aidilfitri ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Beliau berkata, ia berikutan keputusan sama ada membenarkan atau tidak orang ramai melakukan rentas negeri ketika perayaan itu adalah atas nasihat kementerian berkenaan.


Katanya, isu rentas negeri untuk pulang beraya adalah perkara utama khususnya apabila Ramadan tiba.


"Apabila mereka (KKM) membuat penilaian risiko, mereka tahu sekiranya buka, apa risikonya atau kesannya. Jadi kita tunggu daripada KKM sama ada boleh atau tidak rentas negeri sempena Aidilfitri nanti.


"Ia bukan kuasa kita...kita lihat apa yang berlaku dulu apabila kerajaan membenarkan dan rentas negeri dibuka, terdapat 31 kluster balik kampung, sebab itu KKM perlu berhati-hati kali ini.


"Kita akan umum dalam waktu terdekat kerana kita pun tidak mahu ganggu orang balik kampung, mahu beli tiket pesawat atau bas.


"Kita akan minta KKM buat pengumuman lebih awal, jadi rakyat boleh bersedia," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, dekat sini, hari ini.


Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain.


Media pada 27 Mac lalu melaporkan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sedang meneliti untuk membenarkan pergerakan rentas negeri bagi sambutan Aidilfitri.


Perdana Menteri berkata, pengumuman akan dibuat sebaik semua data berkaitan dianalisis KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).


Susulan itu, Ismail Sabri berkata, pihaknya akan memaklumkan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, supaya segera mengemukakan cadangan atau keputusan mengenai rentas negeri itu.

-Astro Awani